Isnin, 18 Julai 2016

Pulau Pinang dilanda banjir kilat

Bernama    


Beberapa kawasan rendah di Pulau Pinang dilanda banjir kilat hari ini berikutan hujan lebat yang berterusan.
Kawasan terlibat termasuk Bayan Lepas, Batu Maung, Relau dan Teluk Bahang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Balai ketibaan Lapangan Terbang berkenaan yang dinaiki air menyebabkan beberapa penerbangan dan pelepasan dalam negara terpaksa ditangguhkan berikutan cuaca buruk.

Jurucakap lapangan terbang itu berkata kawasan yang terjejas ialah kawasan awam iaitu ruangan balai ketibaan, lorong 1 tepi jalan, bahagian laluan servis udara dan ruang balai singgah.

Keadaan trafik juga terhenti berikutan air banjir telah melimpahi bulatan yang menghala ke terminal lapangan terbang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Anuar Omar berkata jalan berkenaan telah tersumbat namun keadaan adalah terkawal.

"Walaupun hujan lebat, tiada kemalangan berlaku setakat ini," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, di Teluk Bahang, kira-kira 1,000 penduduk dari tiga kampung terjejas akibat banjir kilat dan setakat 6.30 petang tadi, sebanyak 15 keluarga, seorang Orang Kurang Upaya dan seorang kanak-kanak berusia setahun ditempatkan di Dewan Majlis Bandaraya Teluk Bahang.

Jabatan Pertahanan Awam Negeri turut membantu dengan menghantar tiga pacuan empat roda dan dua ambulans ke tempat kejadian banjir kilat.

Ketua operasinya Lt. Mohd Aizad Abdul Ghani berkata jabatan berkenaan akan meletakkan anggotanya dalam keadaan siap siaga sehingga semuanya pulih.

Sehingga 4.30 petang, banjir kilat mulai surut setelah hujan lebat mulai reda.

Bagaimanapun, penduduk dari Kampung Nelayan, Kampung Teluk Awak dan Kampung Desa Marina bimbang bahawa hujan akan turun kembali berikutan musim monsun telah bermula.

Ini adalah kali pertama Kampung Desa Marina dilanda banjir kilat manakala Kampung Nelayan dan Teluk Awak dilanda banjir buat kali ketiga.

Kira-kira 20 kereta dan 40 motosikal telah dipindahkan namun terdapat banyak juga kenderaan yang terperangkap di kampung berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang memaklumkan bahawa selain hujan lebat, terdapat kemungkinan bahawa sistem perparitan yang telah ketinggalan zaman, menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan lalu lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata, hujan lebat yang mencecah sehingga 190 mm direkodkan di empangan Teluk Bahang.

Katanya, kejadian air pasang telah menyebabkan tebing sungai Teluk Awak pecah, sekali gus menyebabkan berlaku banjir kilat di Teluk Bahang.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, melahirkan kebimbangan bahawa kejadian banjir kilat disebabkan aktiviti penggondolan bukit di Bukit Teluk Bahang.

Pada masa sama, di Bayan Lepas, Relau dan Batu Maung, lebih 100 keluarga terjejas akibat banjir kilat dan Jabatan Bomba dan Penyelamat masih mengumpul data mengenai berapa ramai yang terjejas.- Bernama


Tiada ulasan: