Sabtu, 23 Julai 2016

PRN Pulau Pinang: Pemuda Pas arah jentera siap sedia


Afnan Hamimi Taib Azamudden
Afnan Hamimi Taib Azamudden


SHAH ALAM – Pemuda Pas Pulau Pinang telah mengarahkan jenteranya supaya bersiap sedia dengan kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam negeri itu dalam masa terdekat.

Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia memandangkan kedudukan negeri itu memandangkan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berhadapan dua pertuduhan salah guna kuasa dalam pengezonan semula tanah di Lot 436 dan 437 daerah Barat Daya kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Guan Eng juga dikatakan berhadapan dengan kemungkinan dipenjara jika beliau disabitkan kesalahan.

“Kami bersedia menghadapi segala kemungkinan sama ada berlaku PRN dalam waktu terdekat atau sebaliknya. Kami telah mengadakan mesyuarat khas dan mengarahkan semua jentera pemuda di seluruh negeri bersiap sedia untuk menghadapi PRN.

“Kami memberi kepercayaan penuh kepada Pas Negeri dan Pusat untuk membuat keputusan berkaitan PRN ini dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri perlu meletakkan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik parti masing-masing.

“Walaupun kerajaan negeri berhak membubarkan Dun mengikut saluran demokrasi, namun tindakan ini dilihat lebih kepada bermotifkan politik meraih populariti dan tidak mendahulukan kepentingan rakyat.

“Politik begini jauh berbeza dengan politik Islam yang meletakkan kepentingan negara dan ummah mengatasi kepentingan individu dan kelompok tertentu,” katanya lagi.

Selain didakwa di atas tuduhan salah guna kuasa, Guan Eng juga dituduh mendapatkan balasan dalam bentuk rumah banglo bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn yang dijual kepadanya di bawah harga pasaran.

Rancangan PRN yang akan diadakan lebih awal itu dikatakan tidak direstui sekutu DAP dalam Pakatan Harapan, PKR dan Amanah.


Tiada ulasan: