Sabtu, 16 Julai 2016

Polis sentiasa pantau, elak kejadian tidak diingini

Nur Jazlan
Nur Jazlan


JOHOR BAHRU - Kerajaan sentiasa memantau aktiviti pengganas menerusi risikan yang dijalankan pihak berkuasa untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ini berikutan, kini pelbagai cara digunakan oleh pihak pengganas untuk melakukan kekejaman yang adakalanya tidak dapat dijangka.

Menurutnya, bagaimanapun, setakat ini tahap keselamatan di Malaysia masih selamat dan tidak perlu dibimbangkan.

"Namun, rakyat masih perlu berwaspada serta melaporkan sebarang aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat.

"Apa yang berlaku di Selatan Perancis semalam yang mana pengganas melakukan serangan trak dengan merempuh sekumpulan penduduk yang sedang merayakan Hari Bastille hingga meragut banyak nyawa rakyat negara itu menunjukkan antara tindakan yang tidak dapat dijangkakan oleh pihak penggganas.

"Selain risikan, kerajaan turut menggunakan teknologi dan media sosial terutama facebook untuk mencari rangkaian yang digunakan pengganas untuk berhubung," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Larian Kempas 2016 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kempas Baru, di sini, pagi tadi.

Larian berkenaan melibatkan penyertaan seramai 400 peserta yang bertujuan untuk memupuk semangat kekeluargaan serta cinta akan alam sekitar dan sejarah kawasan Kempas.

Dalam pada itu, mengenai salah guna senjata api yang kerap dilaporkan sebelum ini,  Nur Jazlan memberitahu senjata berkenaan diseludup dari negara jiran oleh kumpulan jenayah atas tujuan tertentu.

"Senjata api dan peluru perlu dilesenkan oleh Ketua Polis Negeri dan salah guna senjata api ini adalah melibatkan mereka yang tidak mempunyai lesen dan diseludup dari negara jiran.

"Polis, bagaimanapun, sentiasa memantau untuk memastikan sindiket penyeludupan senjata api ini dapat dilumpuhkan bagi mengekang aktiviti jenayah," katanya.


Tiada ulasan: