Selasa, 19 Julai 2016

PKR belum buat keputusan mahu bersama parti Tun Mahathir atau tidak

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PKR belum membuat keputusan mahu bekerjasama atau tidak dengan parti baru yang bakal dibentuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
 
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, sebarang keputusan untuk bekerjasama tertakluk kepada agenda dan ideologi parti berkenaan.
 
“Sekiranya setuju dengan agenda reformasi yang kami bawa, tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti atau individu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Taman Puchong Utama dekat Puchong hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian PKR selepas Dr. Mahathir baru-baru ini mengumumkan bakal menubuhkan parti baru mesra parti pembangkang.
 
Terdahulu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyatakan perkara yang sama selepas ditanya adakah PKR akan bersama parti baru itu.
 
Wan Azizah juga dilaporkan berkata partinya akan mengadakan perbincangan serius mengenai pelawaan Tun Mahathir untuk bersama membentuk pakatan baru bersama parti pembangkang yang lain.
 
"Setakat ini, kita hanya ambil pendekatan tunggu dan lihat dulu. Kita hendak tahu juga siapa pemimpin parti baharu itu, kerana apa yang difahamkan, Tun (Dr Mahathir) tidak mahu jadi presidennya. 
 
"Kita juga perlu menilai apa matlamat parti baharu itu. Kalau ada persamaan, mungkin kita boleh kerjasama," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Permatang Pauh di Dataran Rakyat pada Sabtu lalu.
 
 

Tiada ulasan: