Jumaat, 22 Julai 2016

Pimpinan tertinggi MIC hadir tayangan perdana filem Rajinikanth

 
Filem yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi di Malaysia itu turut menampilkan pelakon tempatan seperti Rosyam Nor dan Norman Hakim.


kabali


KUALA LUMPUR: Ratusan peminat bintang legenda filem Tamil, Rajinikanth meredah hujan dan kesesakan lalu lintas bagi menonton tayangan perdana filem terbarunya ‘Kabali’ di sebuah pawagam malam semalam.

Pawagam bergema dengan tepukan gemuruh peminat Rajinikanth yang mula berkumpul seawal 6 petang di pawagam itu, apabila pelakon handalan itu muncul di layar perak dalam tayangan bermula 10 malam itu.

Turut hadir ialah Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, timbalannya Datuk Seri S.K. Devamany, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan, pelakon Datuk Jalaluddin Hasan dan Norman Hakim serta pelakon India, Dhansika yang turut berlakon dalam filem itu.

Dalam filem gangster itu, Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao memegang watak dikenali sebagai Kabaliswaran yang turut menjadi judul filem tersebut.

Filem yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi di Malaysia itu turut menampilkan pelakon tempatan seperti Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan serta pelakon terkenal Taiwan, Winston Chao.

Filem ke-159 Rajinikanth itu turut mempunyai versi yang dialih suara ke bahasa Malaysia.

Dr Subramaniam, dalam ucapan sebelum tayangan filem itu, menyambut baik langkah diambil mereka yang bertanggungjawab menerbitkan filem itu untuk menjalani penggambaran di beberapa lokasi di Malaysia.

Beliau mengambil perhatian bahawa kira-kira 1,000 rakyat Malaysia turut mengambil bahagian dalam menjayakan filem itu dan wang yang dibelanjakan untuk menghasilkan filem itu turut menyumbang kepada ekonomi negara.

Seorang peminat Rajinikanth, G. Sundaran, 42, berkata walaupun basah kuyup akibat hujan, beliau tidak mahu melepaskan peluang menonton aksi pelakon kegemarannya itu.

Beberapa peminat terdiri daripada orang Melayu juga tidak melepaskan peluang untuk menonton tayangan perdana itu.

Tiada ulasan: