Selasa, 19 Julai 2016

Pilihan raya ‘haram’ di Bukit Mertajam

praya haram

Oleh Steven Sim


Nama saya Sim Chee Keong, lebih dikenali sebagai Steven Sim. Saya Ahli Parlimen Bukit Mertajam. Ini pengakuan saya:

Daripada 25 Mac sehingga 27 Mac 2016, saya bersama-sama Lee Khai Loon, ADUN Machang Bubok dan rakan-rakan kami yang lain telah menganjurkan satu pilihan raya haram. Biar saya jelaskan.

Untuk tiga hari tersebut, setiap hari dari 9 pagi sehingga 5 petang, pengundi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubok telah keluar mengundi di sepuluh pusat mengundi yang dikelola oleh kami.

Kami telah memastikan agar peraturan pilihan raya diikuti. Tatacara pemilihan termasuk aturan peralatan dalam bilik mengundi sekalipun, kami cuba patuh kepada amalan SPR. Daftar pengundi dicapai melalui laman web SPR dan sebagai “backup”, kami ada sesalinan “hardcopy” senarai pengundi tersebut.

Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Bersih, Aliran, Suaram dan Coalition for Good Governance (CCG) telah dijemput untuk menjalankan audit proses pilihan raya dan kemudian sebagai pemantau sepanjang tempoh mengundi.

Sebelum itu, tempoh berkempen telah berjalan selama seminggu, dan lebih kurang 32,000 orang pengundi yang berdaftar dengan SPR di DUN Machang Bubok disasarkan.

Pada hari mengundi, sebanyak 2,438 undi telah dibuang. Namun pilihan raya ini tidak mendapat restu SPR, maka saya sebut sebagai ‘pilihan raya haram’.

Bukan pilih Si Pemilih, tapi jadi Si Pemilih

poll station 2 

Kali ini, benda yang dipilih oleh pengundi bukan wakil rakyat ataupun YB. Kali ini, pengundi Machang Bubok diberi peluang untuk mengundi bagi menentukan apa projek pembangunan setempat yang mereka inginkan. Mereka membuat keputusan bagaimana hendak membelanjakan dana pembangunan setempat sebanyak RM100,000.

Saya dan Adun Lee Khai Loon telah memperuntukkan RM50,000 setiap seorang bagi tujuan tersebut. Projek ini diberi nama, “Duit Kita, Hak Kita”.

Dalam kata lain, pilihan raya “haram” kami bukan untuk pilih proksi demokrasi, bukan pilih orang untuk buat keputusan bagi pihak rakyat – orang macam ini disebut “YB” (saya salah seorang). Sebaliknya, rakyat pilih terus apa keputusan itu, tak perlu dua kali pilih, tak perlu orang politik jadi orang tengah. Ini bukan pilihan raya untuk rakyat pilih Si Pemilih tapi rakyat jadi Si Pemilih.

Demokrasi kita tidak normal

Kita hidup dalam demokrasi tidak normal di Malaysia. Pilihan raya tidak mampu mencerminkan kehendak rakyat. Parti yang mendapat 51% undi popular dinafikan daripada membentuk kerajaan. Budaya rasuah, salahguna kuasa berleluasa, dan saya tidak perlu sebut lagi segala kerosakan yang ada sebab sudah bergulung-gulung aduan dan keluhan dibuat, semua ini berleluasa.

Maka rakyat tercari-cari, di mana salahnya dan apa pula jalan penyelesaiannya? Demokrasi kita ada masalah besar. Demokrasi kita demokrasi proksi – rakyat pilih wakil. Justeru, yang terpilih digelar wakil rakyat. Dia lah yang membuat segala keputusan bagi pihak rakyat.

Bukan tiada hikmahnya sistem ini. Tapi, masalahnya, apabila rakyat itu sendiri anggap bahawa demokrasi hanya semasa bab pemilihan, bilamasa nak undi wakil mereka itu sajalah “demokrasi”. Lepas itu, lap tangan dan biarkan wakil rakyat saja yang buat segala keputusan.

Sebab rakyat tidak ambil peduli, maka wakil rakyat diberi kuasa yang besar. Dengan kuasa itu, dia buat duit di satu pihak dan dia buat rakyat bergantung kepadanya di pihak yang lain. Lama kelamaan, wakil rakyat jadi lebih “power” dari rakyat yang memilihnya.

Kesannya, hak demokrasi rakyat terhadkan kepada masa nak undi sahaja. Justeru, tidak hairanlah, lima tahun sekali, ataupun bila ada wakil rakyat mati, politikus turun tersengih-sengih merayu undi. Janji-janji manis ditaburkan, masa “eleksyen” semua pun ok.

poll station 3 

Oleh sebab wakil rakyat berkuasa dan boleh buat duit untuk kepentingan diri, maka dia juga berupaya mempengaruhi undi. Jika wang tidak dapat mempengaruhi undi, maka dia akan guna racun xenophobia, ataupun bahasa yang kita mudah faham, assabiyah. 

Dia takut-takutkan rakyat kepada orang lain, sama ada yang berbeza agama atau bangsa atau identiti gender atau apa-apa identiti yang dianggap tidak normal. Jika tidak undi si dia, maka orang lain itu akan ambil alih kuasa. Sedangkan dia sendiri telah lama membolot kuasa itu untuk kepentingan peribadi.

Demokrasi menjadi terlalu susah dan mahal untuk dimiliki rakyat.

Ini demokrasi yang tidak normal. Ia bercanggah dengan konsep demokrasi itu sendiri, iaitu rakyat yang berkuasa. Kini elit yang berkuasa.

Ada pula yang kata demokrasi proksi lebih praktikal. Lihat pada Brexit, referendum di UK sama ada untuk kekal atau keluar dari Kesatuan Europah (EU). Lepas Brexit, ada yang kata rakyat biasa rata-rata tidak pandai dalam hal ehwal kenegaraan. Kalau keputusan di tangan mereka, porak peranda jadinya.

Ada kebenaran. Tapi pandangan ini berpaksikan demokrasi proksi yang kita ada pada hari ini: Di mana masalah kenegaraan yang kompleks ditakrifkan dalam soalan yang menjurus kepada jawapan “ya” atau “tidak”, “hitam” atau “putih”, “kiri” atau “kanan”. Rakyat hanya diberi pilihan binari yang ekstrim tanpa peluang untuk mengemukakan penyelesaian kompromi.

Sekali lagi, lihat pada Brexit, bukan semua yang EU ditolak oleh puak yang ingin mengundur dari EU; mereka mungkin tidak setuju dengan birokrasi Brussels tapi mereka masih inginkan dinamik pasaran Eropah. Tapi hakikatnya mereka hanya diberi pilihan binari dalam referendum: “in or out”.

Demokrasi yang normal ialah demokrasi konsultasi, pilihan raya sekadar salah satu agenda dalam sistem demokrasi. Jangan lupa negara-negara diktator sekalipun ada pilihan raya, malah ada referendum.

Demokrasi ialah proses bukan program

Demokrasi yang sihat adalah sebuah proses berterusan dan bukan program “one-off” semata-mata.

Proses ini merangkumi konsultasi dan rundingan di mana segala kepentingan pelbagai pihak dibentangkan dan dibincangkan. Sudah tentu proses ini rumit dan melibatkan tawar-menawar (bargaining) antara pihak-pihak berkepentingan. Ini tidak dapat dielakkan memandangkan sumber awam adalah terhad untuk memenuhi keperluan setiap pihak yang terlibat.

Namun, proses ini lebih adil, lebih mencerminkan kehendak ramai, dan lebih win-win, berbanding demokrasi zero-sum yang berpangsikan pilihan raya semata-mata.

Pilihan raya yang memaksa rakyat buat pilihan binari ialah demokrasi zero-sum: You kalah ataupun I kalah, tidak ada menang-menang, dan winner takes it all, yang berjaya, akan menang segala galanya, yang gagal, akan hilang segala-galanya.

Justeru, dalam projek “Duit Kita Hak Kita”, kami bertujuan untuk membudayakan proses demokrasi ini. Seluruh projek ada empat fasa, ambil masa lebih setahun – mungkin juga kerana ini benda baru di negara kita, terpaksa, “sambil buat sambil belajar”.

Saya sudah jelaskan di atas bahawa, di bawah projek ini, rakyat mengundi bagaimana wang peruntukan sebanyak RM100,000 akan digunakan. Tiga cadangan telah dikemukakan dalam kertas undi:

1) Menaiktaraf infrastruktur Kampung Permatang Tinggi dengan CCTV dan juga pengindahan kampung bagi tujuan pelancongan;

2)Menaiktaraf dewan serbaguna dan pembinaan kemudahan istirehat di tepi masjid dan kuil di kawasan Alma-Bukit Minyak;

3) Pembinaan bumbung untuk gelanggang bola keranjang di Taman Selamat.

Seramai 2,438 orang pengundi telah keluar membuang undi dan cadangan pertama iaitu projek di Kampung Permatang Tinggi mendapat undi paling tinggi, sebanyak 45% daripada undi yang dibuang.
Ketiga-tiga cadangan yang diundi tadi pun sebenarnya bukan cadangan “YB” ataupun “JKKK” ataupun mana-mana pegawai kerajaan semata-mata.

Ia hasil daripada perbincangan orang awam melalui kumpulan tumpu bincang (focus group discussion) yang dianjurkan sebelum kempen mengundi bermula. Sebanyak sembilan (9) kumpulan tumpu bincang telah dianjurkan melibatkan 268 penduduk pelbagai kaum, lelaki dan perempuan, yang merangkumi kanak-kanak berumur 13 tahun sehinggalah warga emas berumur lebih 60 tahun.

Dalam fasa inilah, proses konsultasi dan rundingan berlaku.

Sebelum itu, satu bancian kependudukan telah dilaksanakan. 8,671 buah isi rumah telah dibanci bagi mengenal pasti maklumat demografi serta isu-isu yang penting bagi penduduk di situ.

Daripada banci sehingga kumpulan tumpu bincang dan kemudiannya proses mengundi, projek ini makan masa setahun, lebih 200 tenaga kerja (kebanyakan sukarelawan) dan memakan kos yang tinggi. Mungkin kerana kali pertama dilaksanakan, sambil buat sambil belajar maka lebih makan masa dan sumber. Tetapi jelas, proses demokrasi yang tulen ialah pengalaman yang berterusan bukan one-off.

Hasilnya, projek “Duit Kita Hak Kita” bukan sahaja kali pertama rakyat Malaysia boleh buat keputusan secara langsung bagaimana duit rakyat akan digunapakai, saya yakin ini merupakan paling dekat dengan kata-kata Abraham Lincoln dalam Ucapan Gettysburg beliau: sebuah kerajaan “oleh rakyat, daripada rakyat, kepada rakyat”

*Steven Sim ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam


Tiada ulasan: