Sekiranya Najib dan kabinet gagal laksanakan
ketiga-tiga perkara dikemukakan sehinggan 29 Julai, PH akan gerakkan
rakyat dalam satu tindakan politik.
PETALING JAYA : Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan susulan tindakan undang-undang yang dipohon Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) semalam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama, mereka menuntut Datuk Seri Najib Razak mengambil cuti daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri dengan kadar segera kerana wujudnya persepsi beliau mempunyai kuasa dan pengaruh ke atas agensi utama kerajaan antaranya pejabat Peguam Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tuntutan kedua adalah supaya kabinet menasihati Yang di-Pertuan Agong menitahkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja terdiri daripada individu-individu yang tidak mempunyai kaitan dengan mereka yang didakwa terlibat dalam isu itu.
“Sekiranya beliau dan kabinet gagal melaksanakan ketiga-tiga perkara di atas sehingga Jumaat 29 Julai, maka Pakatan Harapan akan bersama menggerakkan rakyat dalam satu tindakan politik pada Sabtu, 30hb Julai 2016 sebagai tanda protes terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib,” kata mereka menerusi kenyataan.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Semalam, DoJ memfailkan saman yang menyiasat dakwaan lebih AS3.5 bilion (RM14.17 bilion) dilesapkan daripada 1MDB.
Dalam saman yang difaikan di Los Angeles itu, DoJ berkata mereka mahu merampas aset-aset yang “terbabit dalam atau boleh dikesan kepada suatu konspirasi untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan