Isnin, 25 Julai 2016

Perkasa mahu Washington namakan ‘Malaysian Official 1′

 
Dengan berdiam diri mengenai identiti misteri itu, ia hanya mengundang spekulasi buruk terhadap Najib, kata Perkasa.
 
 
 
perkasa2


KUALA LUMPUR: Perkasa hari ini menggesa pentadbiran Amerika Syarikat menyatakan secara jelas siapakah sebenarnya individu di sebalik ‘Malaysian Official One’.

Setiausaha Biro Integriti, Anti-Korupsi dan Penyalahgunaan Kuasa Perkasa Faiz Na’aman berkata ia akan menjawab pertanyaan orang ramai yang mengaitkannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rabu lalu, Jabatan Kehakiman AS mendedahkan salah laku dan korupsi melibatkan beberapa personaliti termasuk Riza Aziz, anak tiri Najib dan ahli perniagaan, Taek Jho Low, yang dituduh melarikan berjuta-juta dolar milik 1MDB.

Dokumen jabatan itu tidak menamakan Najib tetapi sekadar merujuk “Malaysian Official 1″ (Pegawai Malaysia 1″), menyebabkan spekulasi mengaitkannya kepada Najib.

“Nama Jho Low dan Riza Aziz disebut, tapi ada satu nama misteri iaitu Malaysian Official 1, yang dikatakan bertaggungjawab terhadap transaksi 1MDB dan ada pertalian dengan Riza Aziz.

“Kini orang kaitkannya dengan perdana menteri sehingga memalukan negara. Jadi kami desak AS jelaskan siapa dia ini,” katanya kepada wartawan selepas menyerahkan memorandum kepada Kedutaan AS di Jalan Ampang hari ini.

Memorandum itu ditujukan kepada Presiden Barack Obama, Peguam Negara Loretta Lynch dan Duta AS ke Malaysia, Joseph Yun.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali semalam mendesak Putrajaya bersikap telus dalam siasatan terhadap 1MDB, termasuk menjelaskan sendiri siapa “Malaysian Oficial 1″ yang hangat diperkatakan.

Saman difailkan Jabatan Kehakiman di Los Angeles itu mendakwa AS$731 juta dana 1MDB mengalir ke akaun bank rasmi “Malaysian Official 1″.

Sementara itu, Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris mendesak Peguam Negara (AG) Tan Sri Apandi Ali dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar agar siasatan diteruskan berikutan perkembangan terbaru ini.

“Dokumen Jabatan Kehakiman AS bercanggah dengan kenyataan Apandi yang Jho Low tidak terlibat dan tiada penyelewengan. Jadi jangan diam sahaja, kita ini ada AG ke tidak?

“Kita juga harap Najib dapat bersihkan nama, dan jangan diam sahaja. Jika tidak, maka memang rakyat dizalimilah,” katanya merujuk kenyataan Timbalan Pengarah FBI Andrew McCabe yang rakyat Malaysia ditipu besar-besaran melalui 1MDB.





Tiada ulasan: