Khamis, 21 Julai 2016

Pembangkang tak faham saman Jabatan Kehakiman AS

 
Apa dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat itu merupakan saman sivil yang perlu melalui proses-proses yang tertentu.


annuar-musa-doh


SHAH ALAM : Tan Sri Annuar Musa mendakwa pembangkang tidak memahami saman dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang mahu merampas harta benda berkait dengan syarikat kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangan UMNO itu berkata, ini kerana apa yang dikemukakan oleh DoJ itu merupakan saman sivil yang perlu melalui proses-proses yang tertentu.

“Secara jelas di situ 1MDB atau Perdana Menteri tidak terkait dengan apa yang mereka sedang lakukan,” katanya, “kalau itu difahami tidak perlu ada sesetengah pihak teruja.”

“Saya baca beberapa kenyataan semalam apabila keluar pasal itu (saman DoJ) terus kait Perdana Menteri patut letak jawatan.

“Itu bagi orang yang pada awal lagi motif nak ambil kesempatan apa yang dialami 1MDB untuk nak menjatuhkan Perdana Menteri secara demokratik,” katanya kepada pemberita seusai majlis pelancaran Mara Digital di Anggerik Mall di sini hari ini.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman pada Rabu kerana mahu merampas harta benda yang berkait dengan syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saman yang difailkan di Los Angeles itu berkata mereka mahu merampas aset-aset yang “terbabit dalam dan boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB.”

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sekiranya Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berjaya memenangi saman sivil bagi mengambil aset terbabit, aset itu akan dipulangkan kepada pemilik yang berhak iaitu 1MDB.

“Jadi yang menjadi masalah kita disini bila ada perkara yang dihubungkan di Amerika Syarikat, kita cuba nak spin ikut cara politik,” tegasnya.

Tambahnya, 1MDB juga tidak mempunyai aset di Amerika Syarikat atau terlibat dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman mereka semalam.

“Dia (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) menyebut secara spesifik nama tertentu aset dan pelaburan yang ada di Amerika Syarikat,” katanya.

Dalam pada itu Annuar turut diminta mengulas mengenai gesaan pemimpin pembangkang yang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

“Kita ucap semoga berjaya kepada pembangkang, mereka boleh terus mencuba dengan cara mereka. Kerajaan ada cara kerajaan, Umno ada cara Umno,” katanya.

Tiada ulasan: