Sabtu, 16 Julai 2016

Pemain kebangsaan bersara awal rugikan negara

SINAR  HARIAN
Tengku Abdullah Ahmad Shah
Tengku Abdullah Ahmad Shah
 
 
"IA merupakan satu kerugian kepada pasukan negara," demikian reaksi Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung pengumuman empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) bersara daripada skuad kebangsaan.

Tengku Abdullah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertitah kesemua pemain terlibat sepatutnya berbincang dengan badan induk bola sepak negara tentang masalah yang dihadapi sebelum mengambil tindakan sedemikian.

"Saya kena dapat laporan, saya sendiri pun baharu saja mendapat tahu berita ini. Memang saya tahu kita (pemain) kena bersara suatu hari nanti tetapi kalau nak bersara awal tanpa tahu sebabnya ia merupakan satu kerugian," titah baginda.

Baginda ditemui selepas berangkat menghadiri majlis pengurniaan sumbangan kepada 192 mangsa ribut di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri serta Pegawai Daerah Temerloh Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali.

Sejak Selasa lalu, empat pemain JDT dalam pasukan kebangsaan iaitu Aidil Zafuan Abdul Razak, Safiq Rahim, S Kunalan dan Amirul Hadi mengumumkan persaraan daripada skuad Harimau Malaysia.

Tindakan mereka itu mencetuskan pelbagai tanda tanya dan kebimbangan di kalangan peminat bola sepak negara berikutan khidmat mereka masih diperlukan bagi menguatkan pasukan negara yang kini berada di ranking 167 bola sepak dunia.

Dalam masa yang sama baginda tetap menghormati keputusan empat tunggak utama pasukan kebangsaan itu.

Tengku Abdullah bagaimanapun enggan membuat sebarang andaian berhubung perkara itu, walaupun ada pihak mengandaikan satu usaha untuk 'mensabotaj' FAM.

Berhubung tindakan yang bakal diambil terhadap empat pemain berkenaan Tengku Abdullah menyatakan baginda menyerahkan perkara itu kepada FAM.

"Elok kemuka terus (soalan) kepada pengurusan tertinggi dan pihak yang berkenaan," titah baginda. - Bernama


Tiada ulasan: