Ahad, 10 Julai 2016

‘Pekerja adalah rakan kongsi saya’

‘Pekerja adalah rakan kongsi saya’
Ooi Choon (kiri) memberikan tunjuk ajar kepada pekerjanya.



KUALA PERLIS - Perbezaan agama tidak sesekali menghalang majikan mengambil tahu dan menjaga kebajikan para pekerjanya.

Itulah yang dilakukan pemilik bengkel motosikal yang terletak di pekan Kuala Perlis, Ooi Choon Keat, 48.

Memiliki sifat prihatin dan sayang kepada para pekerjanya membuatkan Ooi Choon disenangi pekerja serta pelanggannya.

Ooi Choon yang sudah 25 tahun membuka kedai motosikal berkata, dia mempunyai enam pekerja, empat daripada mereka adalah Melayu.

Menurutnya, pekerja adalah rakan kongsi perniagaan dan perlu menonjolkan sikap yang baik kepada mereka.

"Kalau saya layan depa elok, depa pasti akan bagi hasil kerja yang elok dan ini akan beri kesan positif pada perniagaan.

“Apa yang penting komunikasi antara saya dan mereka. Walaupun berlainan bangsa dan agama saya tetap cuba berkomunikasi dengan mereka secara baik.

“Kalau ada kesalahan yang depa buat, saya akan tegur dengan cara yang baik dan pastikan kesalahan itu tidak berulang,” katanya.

Faham adat Melayu

Dia yang fasih berbahasa Melayu sangat memahami dan menghormati adab tatasusila masyarakat Melayu beragama Islam.

“Saya ada ramai kawan Melayu dan depa selalu mai kedai saya minta tolong perbaiki motosikal.

“Kadangkala ada yang saja mai lepak sembang dengan saya dan saya juga akan pi rumah depa untuk berbual kosong,” katanya.

Ooi Choon berkata, hidup di negara yang berbilang kaum seperti Malaysia memerlukan semua golongan masyarakat untuk bersatu hati dalam apa jua perkara.

“Jika ada perbezaan, hormatilah ia agar suasana aman dan tenteram dapat dikekalkan.

“Elakkan pergaduhan sesama kita kerana ia tak mendatangkan apa-apa kebaikan. Hari ini kita senang, esok lusa kalau kita susah tiada tempat meminta pertolongan lagi kerana kita bermusuh sesama kita,” katanya berfalasafah.

Pekerja gembira kebajikan terjaga

Pekerjanya, Abdul Razak Cek Nir, 27, berkata, dia sudah bekerja hampir lima tahun dengan Ooi Choon.

Menurutnya, dia sangat selesa bekerja bersama Ooi Choon kerana sering mengambil berat kebajikan pekerja.

“Sebelum bekerja di sini, saya bekerja di merata tempat dan ini adalah tempat kerja pertama yang saya kekal bekerja untuk tempoh masa yang lama.

“Walaupun bos saya Cina tapi dia tetap ambil berat tentang saya dan tiga rakan Melayu lain yang bekerja di sini.

“Bukan nak membodek, tapi bagi saya Ooi Choon bos terbaik yang pernah saya jumpa,” katanya.
Abdul Razak yang mahir membaiki motosikal berkata, dia akan bekerja dengan Ooi Choon selagi khidmatnya diperlukan.

“Tiada sebab untuk saya berhenti sebab dia sangat menjaga kebajikan kami. Kalau sakit, dia akan bagi duit tambahan untuk kami ambil ubat.

"Lagi satu bila musim nak raya, dia sangat faham kami pekerja Melayu perlu belanja wang yang banyak, jadi dia akan beri duit raya kepada semua pekerja Melayu," katanya.

Disenangi pelanggan

Sementara itu, pelanggan tetap Ooi Choon, Kamarul, 29, berkata, dia selalu menggunakan khidmat bengkel Ooi Choon.

“Saya hanya tinggal di kawasan ni jadi bila motosikal saya ada masalah saya terus mai sini sebab harga barang dan upah pun berpatutan.

“Saya suka tengok cara Ooi Choon layan pekerja dia. Nampak semua selesa dan senang bekerja,” katanya.

Tambah Kamarul, sesetengah kedai akan membiarkan menunggu sendirian di tepi kedai.
 
"Tapi Ooi Choon selalu mai sapa saya ajak sembang. Cara kami sembang langsung tak rasa yang dia tu Cina dan saya ni Melayu sebab rasa sangat selesa,” ujarnya.


Tiada ulasan: