Khamis, 14 Julai 2016

PAS mahu pembangkang berhenti bercakaran, sasar serangan kepada Umno-BN

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS hari secara terbuka menyeru parti pembangkang berhenti menyerang sesama sendiri dan menumpukan kepada musuh sebenar, Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sudah tiba masanya parti pembangkang mencari jalan keluar kepada permasalahan dan bukannya berterusan ingin menjadi wira yang berjaya menumbangkan musuh.  
 
"Pertama, parti-parti pembangkang perlu melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi memberi fokus kepada musuh sebenar (Umno-BN).
 
"Jangan pedulikan tulisan murahan cybertrooper yang suka melagakan antara satu sama lain. Golongan ini akan ada di setiap zaman dan tempat.
 
"Apa yang penting dilihat ialah masa depan negara. Kerana masa depan rakyat, agama, bangsa bahkan parti politik hanya akan wujud bila adanya kestabilan negara.
 
"Kedua ialah mencari titik kompromi, di mana ia tentu akan memerlukan tolak ansur satu sama lain," katanya dalam posting di laman Facebook beliau.
 
Mengakui sukar untuk semua parti mencapai titik kompromi, namun ujar Tuan Ibrahim, apa yang penting adalah pembangkang melihat kepada persamaan yang lebih banyak dikongsi bersama berbanding satu dua perkara saja yang menjadi perbezaan. 
 
"Dalam mewujudkan toleransi politik yang baik, tentulah usaha perlu diambil bagi memperbesarkan persamaan dan mengecilkan ruang perbezaan.
 
"Kalau prinsip dan dasar Islam yang dibawa PAS adalah titik perbezaan, langkah komprominya ialah hormati perbezaan itu dan jangan dijadikan ia sebagai titik pertikaian selagi PAS memperjuangkan dasarnya dalam ruang demokrasi yang ada.
 
"Dengan niat yang betul, kompromi boleh dicapai dengan hanya memokuskan apa yang boleh disumbangkan oleh setiap parti tanpa perlu menggadaikan dasar parti masing-masing," ujarnya.
 
Malah tambah Tuan Ibrahim, PAS sebelum ini sudah membuktikan ia parti berjiwa besar apabila sanggup mengorbankan kerusi, berkongsi jentera serta memberikan bantuan kewangan kepada rakan-rakan parti ketika masih dalam satu pakatan sebelum ini.
 
"Jika titik kompromi tidak dapat dicapai, terpaksalah semua parti pembangkang bersedia untuk menang jadi arang, kalah jadi abu di PRU akan datang.
 
"Jika titik kompromi dijumpai, percayalah yang menjadi abu hanyalah satu, iaitu Umno-BN," ujarnya lagi.
 
Hubungan PAS, DAP dan PKR yang dijalin menerusi gabungan Pakatan Rakyat (PR) 'terkubur' tahun lalu selepas DAP dan PAS berterusan bertelagah khususnya membabitkan soal pelaksanaan hukum hudud. 
 
DAP dan PKR kemudian menganggotai sebuah pakatan baru yang dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH) bersama parti serpihan PAS, iaitu Amanah pada September tahun yang sama.  
 
Manakala PAS pula menubuhkan kerjasama bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pimpinan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh fadzir menerusi Blok Ketiga.

Tiada ulasan: