Isnin, 11 Julai 2016

PAS ambil pengajaran PRU13, tak mahu beri kerusi kepada Amanah

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Mengambil iktibar Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, PAS tetap akan mempertahankan kesemua kerusinya bagi menghadapi PRU14, akan datang.
 
Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh, parti juga bertegas tidak akan sesekali beralah dengan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk memberi sebahagian kerusi milik mereka.
 
"Jika DAP dan PKR hendak beri kerusi kepada PAN (Amanah), berilah. Tetapi saya yakin, malah PAS juga, tidak akan mengizinkan mana-mana kerusi PAS diberi kepada PAN (Amanah). Saya yakin pimpinan PAS juga berpendirian yang sama.
 
"Sudah cukup kita berkorban sebelum ini untuk beri kerusi kita kepada PKR. Terpulang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk membincangkan kerusi manakah yang akan diberi kepada Amanah," ujarnya dalam temubual bersama Antarapos, baru-baru ini.
 
Mohd Fuad mengulas pendirian PAS membabitkan kerusi-kerusinya bagi menghadapi PRU14 yang hanya berbaki kurang dua tahun lagi.
 
Jelasnya, parti tidak mahu mengulangi khilaf yang sama sebagaimana sebelum ini apabila menyerahkan beberapa kerusi kepada PKR.
 
Antara kerusi yang dimaksudkan adalah Kota Damansara pada PRU13 lalu, malah Permatang Pauh juga merupakan kerusi tradisi PAS yang diserahkan kepada PKR.
 
Menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang berlangsung pertengahan bulan lalu, PAS berdepan dengan saingan tiga penjuru bersama Barisan Nasional (BN) dan Amanah.
 
Bagaimanapun BN kekal mempertahankan dua kerusi berkenaan, dengan jumlah undi yang lebih tinggi berbanding PRU13.
 
"Kepada PAN (Amanah) untuk meminta kerusi yang mereka pegang dan bawa lari sekarang (daripada PAS), jawapannya adalah tidak.
 
"Saya tidak mengatakan PKR kena pertimbangkannya. Tetapi di dalam perbincangan, kita tidak mahu ada pihak yang kalah-menang. Kita mahu kedua-duanya menang. Bilangan kerusi mungkin kekal, tetapi mungkin berlaku perubahan kawasan, sekiranya ada," tegas Mohd Fuad.
 
Rentetan kekalahan PAS dan Amanah dalam PRK serentak 18 Jun lalu, ramai pemimpin pembangkang mengajak PAS mengadakan rundingan bersama PH bagi menghadapi PRU14, bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dapat diadakan.
 
Namun sehingga kini PAS masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tawaran tersebut.
 
 

Tiada ulasan: