Khamis, 14 Julai 2016

Nazri ingatkan Muhyiddin, semak fakta sebelum tuduh Najib

Zikri Kamarulzaman

LIHAT VIDEO DI SINI

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menyemak fakta sebelum menuduh

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memungkiri janjinya untuk mengambil tindakan ke atas 1MDB, kata seorang menteri Umno.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, mereka yang bertanggungjawab terhadap kegagalan 1MDB adalah lembaga pengarah syarikat pelaburan negara itu dan mereka telahpun meletak jawatan.

Bagaimanapun, dakwaan jenayah lain yang berkaitan dengan 1MDB, kata Nazri, perlu disiasat terlebih dahulu oleh pihak berkuasa.

“Kesalahannya apa? (Katakanlah) bawa lari duit. Siapa yang bawa lari duit.

“Kena kenal siapa buat. Kalau tidak, nak ambil tindakan kepada siapa?” soalnya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas tuduhan Muhyiddin bahawa Najib memungkiri janjinya untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melakukan salah laku dalam isu skandal 1MDB.

Katanya, bekas bosnya berjanji untuk mendedahkan laporan audit 1MDB yang kini masih dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sementara itu, mengulas mengenai perhimpunan Pemuda Umno di ibu pejabat DAP semalam dengan melontarkan duit neraka, Nazri berkata tindakan itu adalah tidak betul.

"Dua kesalahan tidak membetulkan sesuatu," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata kesalahan masih terletak pada Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, yang dikatakan tidak sensitif mengeluarkan kenyataan sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam.

Pada 6 Julai lalu, Nga dalam ucapan Aidilfitri menyiarkan karikatur kanak-kanak dan tetamu menerima sedekah duit raya dan menyamakannnya sebagai rasuah dan 'dedak'.

Posting itu kemudiannya dikeluarkan dari laman Facebooknya.

Nga juga mengundang masalah apabila memuat naik gambar yang berlatar belakangkan rumah api dan bendera Amerika Syarikat dalam ucapan Aidilfitri.

"Sebagai Ahli Parlimen beliau perlu lebih bertanggungjawab dengan apa yang beliau perkatakan," kata Nazri.


Tiada ulasan: