Khamis, 21 Julai 2016

Najib perlu beri penjelasan segera

 Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail


SHAH ALAM - Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi penjelasan kepada ahli-ahli Parlimen menerusi satu sidang tergempar berhubung kenyataan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) semalam.

Menurut Wan Azizah, selain itu, beliau turut menggesa Kabinet supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menitahkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan berkenaan.

“Saya menggesa Kabinet untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Suruhanjaya Siasatan Di-Raja ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan wang RM14 bilion telah dilarikan dari 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dari 2009 ke 2015 serta mencadangkan agar individu-individu yang terlibat dihadapkan ke mahkamah,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu 1MDB: Jabatan Kehakiman AS mahu rampas 17 aset]

Semalam, DOJ menyatakan bahawa Kerajaan Amerika Syarikat akan mengambil alih aset bernilai lebih RM4 bilion (AS$1 bilion) yang berkait rapat dengan satu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang haram dari 1MDB.

Selain itu, DOJ juga telah menamakan individu-individu yang didakwa terlibat dalam konspirasi berkenaan iaitu anak tiri kepada Perdana Menteri, Riza Aziz, ahli perniagaan, Jho Low, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohammed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Dalam pada itu, Wan Azizah turut yakin bahawa rakyat negara ini mahukan Najib untuk mengambil cuti sebagai Perdana Menteri supaya tidak timbul syak wasangka serta salah guna kuasa untuk melengah atau menghalang siasatan penuh terhadap isu serius ini.

“Memandangkan jawatan Najib sebagai Perdana Menteri memberikan beliau kuasa dan pengaruh ke atas agensi utama kerajaan termasuk pejabat Peguam Negara, Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka beliau harus mengambil cuti sebagai Perdana Menteri,” katanya

Tiada ulasan: