Sabtu, 16 Julai 2016

MP PKR perlu ditarbiah kata Umno Selangor

Irmohizam Ibrahim
Irmohizam Ibrahim


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Umno dari Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim menegaskan Ahli Parlimen PKR dari Penampang, Darell Leiking yang mempertikaikan khutbah Aidilfitri di negeri ini perlu ditarbiah agar tidak lagi celupar dalam mengeluarkan kenyataan.

Menurutnya, kedaifan Naib Presiden PKR itu dalam memahami isu dan menghormati agama lain serta institusi diraja perlu disedarkan dengan mengheretnya ke mahkamah.

“Beliau dengan lantangnya berani mengaitkan khutbah tersebut seolah-olah Selangor sedang diuruskan oleh golongan ekstremis hanya kerana kandungan Khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu melafazkan kesyukuran dan memuji Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kerana berjaya membentangkan Rang Undang-undang Persendirian (RUU) di Dewan Rakyat.

“Siasatan terhadap beliau perlu dijalankan kerana dikhuatiri beliau mempunyai niat yang tidak baik seperti mahu menjatuhkan institusi diraja. Tindakan beliau ini hanya mengguris perasaan Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri berlandaskan undang-undang tubuh negeri Selangor dan membangkitkan lagi kemarahan khususnya umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2 Syawal lalu, Darell memuat naik status bertanya kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali sama ada Timbalan Presiden PKR itu bersetuju dengan kandungan khutbah Aidilfitri tersebut selain mengibaratkan negeri ini ditadbir golongan ekstremis.

Jais dan beberapa NGO di Selangor kemudiannya membuat laporan polis terhadap kenyataan Darell itu.
Dalam pada itu, Irmohizam yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, kenyataan Darell hanya cenderung ke arah sentimen keagamaan dan rasis semata-mata.

“Setiap kenyataan berkaitan agama atau budaya sesuatu kaum yang dikeluarkan, perlulah berhati-hati agar tidak mencetuskan kontroversi. Kita tidak perlu menjadi terlalu emosional dan taksub sehingga mencetuskan pergaduhan dan akhirnya berlaku perselisihan agama.

“Sikap seperti Darrell ini harus dikikis dari hati segenap lapisan masyarakat. Saya mencadangkan agar institusi-institusi pendidikan mula merancang memperbanyakkan program-program yang menjurus ke arah pembentukan silaturahim,” katanya.

Sementara Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi mencabar PKR mengambil tindakan segera ke atas naib presidennya itu.

“Demi untuk mengelakkan perkara ini terus berulang lagi, saya mencabar PKR dengan segala kuasa yang mereka ada, supaya tidak hanya berpeluk tubuh dan mengandaikan tindakan Darell itu tidak membawa apa-apa makna atau kesan kepada masyarakat.

“Sebaliknya, PKR khususnya Azmin Ali perlulah dengan seberapa segera untuk mengambil tindakan kepada Darell sebagai pengajaran dan panduan untuk masa mendatang,” katanya.

Menurutnya lagi, tidak wajar untuk Azmin sebagai menteri besar di negeri ini membiarkan tindakan Darell itu.

“Saya memilih untuk bersetuju dengan tindakan Jais yang difahamkan telah membuat laporan terhadap Darell mengenai isu tersebut hari ini demi menjaga kedudukan Islam di negeri ini,” katanya.

Melalui kemas kini status terbaharu, Darell menyatakan kesediaannya disiasat atas pandangan yang dikeluarkannya itu.

“Sebagai ahli Parlimen dari Sabah, saya mesti mempertahankan Perjanjian Malaysia 1963 dan tentu akan menyoal dan menyuarakan pendapat saya apabila RUU yang diusulkan Ustaz Hadi disokong biarpun oleh Jais.

“Jika mereka tidak hormati pandangan saya, tiada masalah. Mereka boleh soal tapi jangan ‘spin’. Saya tidak pernah menyebut nama orang ataupun Sultan (Selangor),” katanya hari ini.


Tiada ulasan: