Khamis, 14 Julai 2016

Mohammad Nizar dapat ganti rugi RM200,000

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini supaya membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung laporan berita mengenai isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
 
Timbalan Pendaftar, Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli membuat perintah tersebut ketika permohonan taksiran ganti rugi dengan kehadiran peguam Mohd. Fitri Asmuni mewakili Mohammad Nizar dan peguam Lim Qi Shi bagi pihak TV3.
 
Mohd. Fitri memberitahu pemberita, jumlah ganti rugi itu merangkumi ganti rugi teladan dan keterlaluan ditetapkan setelah mempertimbangkan beberapa faktor antaranya status Mohammad Nizar ketika itu sebagai bekas Menteri Besar, tindakan TV3 selepas fitnah dibuat, liputan meluas yang dibuat, kesan kepadanya dan fitnah tersebut menyentuh institusi beraja.
 
Pada 26 Februari 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering Perak itu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi di sini.
 
Mahkamah Rayuan turut memerintahkan syarikat televisyen itu membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Mohammad Nizar selain mengarahkan agar taksiran ganti rugi dibuat di Mahkamah Tinggi.
 
Mohammad Nizar selaku pihak plaintif memfailkan saman berhubung penyiaran berita mengenai isu nombor pendaftaran WWW 1 milik Sultan Johor yang dimenangi melalui proses bidaan berjumlah RM520,000.
 
Pada 12 April 2013, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan saman RM50 juta oleh Mohammad Nizar dengan alasan TV3 dan Penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah selaku pihak defendan berjaya membuktikan pembelaan mereka berdasarkan kewajaran dan ulasan saksama dalam perkara yang melibatkan kepentingan awam. 
 
 

Tiada ulasan: