IPOH: Sebuah bas persiaran merempuh 10 kenderaan lain dalam satu
kemalangan di Kilometer 265.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah
selatan, selepas Terowong Menora di sini, pada Ahad.
Komander Lebuh Raya Zon Utara, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan
Trafik Bukit Aman ASP Hazil Reza Mohd Ghazali berkata kemalangan
kira-kira 3 petang itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal
atau kegagalan brek bas berkenaan.
"Mengenai kecederaan, buat masa ini pihak polis tidak dapat memastikan jumlah yang terlibat," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak
Supt Wan Jamil Wan Chik berkata kesemua 28 penumpang dan pemandu bas
persiaran itu dilaporkan selamat.
Beliau berkata semasa kejadian, bas berkenaan yang tidak diketahui
destinasinya, secara tiba-tiba melalui bahagian lebuh raya itu lalu
merempuh tiga kereta di hadapannya.
"Semua pemilik kenderaan telah membuat laporan polis di cawangan Trafik
Ipoh. Pemandu bas itu akan ditahan untuk membantu siasatan," katanya.
Ketika kejadian, katanya, aliran trafik di lebuh raya itu bergerak perlahan.
"Polis Perak memandang serius kejadian ini. Kita akan siasat secara
menyeluruh sama ada ia melibatkan isu-isu teknikal, kelalaian dan
pengaruh dadah atau alkohol," katanya.
Sementara itu, jurucakap PLUS ketika dihubungi berkata kemalangan itu
menyebabkan kesesakan trafik sepanjang 11 kilometer di lebuh raya itu.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan