INI cerita lawak. Tapi apa nak
dihairankan? Malaysia dah jadi bahan lawak satu dunia.
Sarawak Report (SR) lapor
maklumat yang ia dakwa dari Laporan Pengauditan 1MDB oleh Ketua Juruaudit
Negara, (Tan Sri) Ambrin Buang.
Laporan itu dah diserahkan
kepada Parlimen tapi dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Jadi salah
kalau dedahkan kepada umum.
Kalau betul maklumat SR itu
daripada laporan tersebut, ia sudah langgar OSA dan boleh disiasat, dihadapkan
ke mahkamah dan sekiranya sabit kesalahan dihukum penjara mandatori sehingga
dua tahun.
Boleh jadi masa Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng
Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, arah Ambrin menentukan kesahihan (verify) laporan audit
1MDB pada 4 Mac tahun lepas dia nak sabotaj atau lengahkan penyiasatan ke atas
syarikat yang dia sendiri kemudikan.
Dia mungkin sangka Ambrin akan
bagi cap jari kepada akaun tersebut maka dengan itu bebaslah dia daripada
disyaki seleweng berbilion-bilion ringgit duit 1MDB.
Jadi apabila laporan Ambrin itu
bukan saja tak dihebahkan malah dikunci pula di bawah OSA jelaslah ada benda
besar yang Mohd Najib tak mahu rakyat jelata tahu.
Soalnya, trompet beliau yakni
(Datuk Seri) Salleh Said Keruak aka SSK, Menteri Komunikasi dan Multimedia, dah
kata laporan SR kena disiasat untuk sahkan betul atau tidak.
KPN Mohd Najib pula, (Tan Sri)
Khalid Abu Bakar kata dia akan tanya Ambrin.
Tapi macam mana dia nak tanya
dan macam mana Ambrin nak jawab pasal laporan itu dah jadi dokumen super sulit
bawah OSA?
Katakanlah Khalid tanya dan
Ambrin sahkan laporan SR tu betul. Kita yang baca laporan SR walaupun SSK cuba
sekat tahulah bahawa maklumat itu benar. Dengan itu lagi banyaklah pekung di
dada Mohd Najib terdedah.
Tapi Ambrin boleh kata dia tak
boleh jawab pasal laporan itu sudah diOSAkan.
Masalahnya kita yang baca berita
arahan Mohd Najib kepada Ambrin 4 Mac tahun lalu dan laporan SR tiga hari lepas
boleh buat kesimpulan bahawa bila laporan Ketua Juruaudit Negara itu diOSAkan
maka tentulah ada rahsia besar yang Mohd Najib dan konco-konco beliau nak
sembunyikan.
Nak tangkap dan siasat SR pun
tak boleh pasal ia beroperasi di UK. Bukan tak cuba tapi tak berjaya!
Tahun lepas Khalid cuba tangkap
pengarang SR, Claire Rewcastle-Brown, tapi gagal bila Polis Antarabangsa
(Interpol) kata tak ada sebab nak tanggap perempuan orang putih itu.
Syusyah kan?
Kalau betul maklumat SR itu dari
laporan Ketua Juruaudit Negara, ia dah jadi cerita kong-kalikong.
Kita rakyat jelata Malaysia yang
tak layari Internet tak tahu tapi orang putih yang jauh beribu batu tahu.
Balik kepada cerita zaman dulu
kala. Orang Melayu tak tahu apa-apa. Dok tak dok orang putih dah jajah satu
Malaya.
Boleh lagi kusut kepala SSK. Dia
sekat SR dan blog tapi rakyat jelata yang celik komputer boleh baca juga.
Mereka lompat kawat duri yang dia pasang.
Terima kasih kepada pembahas
yang kongsi maklumat macam mana nak lompat atau runtuhkan tembok yang SSK
dirikan.
NOTA KAKI (ulangan): 1. Mappadulung
Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone bukan fiksyen ciptaan saya. Ia adalah gelaran
tertinggi Bugis daerah Gowa, Sulawesi yang diberikan kepada Mohd Najib pada 12
November 2005; 2.
Pemakan dedak adalah gelaran yang laskar siber (cyber warriors) Umno/Mohd Najib bagi kepada satu sama lain selepas Perhimpunan Agung Umno 2014 apabila Mohd Najib menuduh mereka bangang kerana menyerang parti sendiri.
Pemakan dedak adalah gelaran yang laskar siber (cyber warriors) Umno/Mohd Najib bagi kepada satu sama lain selepas Perhimpunan Agung Umno 2014 apabila Mohd Najib menuduh mereka bangang kerana menyerang parti sendiri.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan