Khamis, 14 Julai 2016

LPT2 bukan keputusan tergesa-gesa

SINAR HARIAN
LPT2
LPT2


KEMAMAN - Keputusan Kabinet untuk melaksanakan pembayaran tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bermula selepas tengah malam ini, bukanlah keputusan tergesa-gesa.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata, LPT2 sejauh 184km dari Jabor di Pahang ke‎ Kampung Gemuroh, Terengganu telah dibuka sepenuhnya sejak 31 Januari tahun lalu, malah pengguna menikmati kemudahan itu secara percuma dalam tempoh tersebut.

"LPT2 beroperasi di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memerlukan kos operasi dan penyenggaraan...jadi, kutipan tol ini untuk kos penyenggaraan dan menyediakan kemudahan lebih lengkap kepada pengguna seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan pengguna.

"Saya yakin apabila pengurusan lebuh raya masuk, tahap keselamatan dan keselesaan R&R akan dapat ditingkatkan dan keputusan pembayaran tol ini bukanlah tergesa-gesa sebab kita bukannya baru buka LPT2 kepada orang ramai.

"...tetapi dah lebih setahun kita buka dan pembinaan lebuh raya ini dah makan masa selama 10 tahun dari dahulu hingga sekarang...kosnya juga telah meningkat berkali ganda," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rosli berkata, kadar caj tol yang dikenakan juga adalah sama dengan LPT1 dari Kuantan ke Karak sebanyak RM0.12 sen bagi sekilometer bagi kenderaan kelas satu (kereta) dan ia masih relevan serta tidak membebankan pengguna.

Mengenai fasiliti di LPT2, Rosli berkata, lebuh raya itu dilengkapi 10 persimpangan bertingkat, tiga R&R serta dua hentian sebelah mempunyai kemudahan seperti tandas, kedai makan dan surau yang sudah beroperasi sepenuhnya.

"Di R&R kita ada semua kemudahan kecuali stesen minyak yang mana sekarang kita hanya ada stesen minyak sementara di R&R Kijal...saya difahamkan sudah ada syarikat diberi kelulusan dan syarikat minyak ini dalam proses mendapatkan kelulusan tanah daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk pembinaan stesen minyak di R&R lain.

"Saya yakin sekurang-kurangnya dua stesen minyak di R&R Perasing dan R&R Paka akan dibina dalam tempoh setahun setengah lagi untuk kemudahan pengguna sebab sekarang permohonan tanah sedang berjalan," katanya.

Ditanya mengenai tuntutan pembayaran balik kos pembinaan LPT2 sebanyak RM1.83 bilion oleh kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat, Rosli berkata pada dasarnya kerajaan Pusat bersetuju membayar balik tuntutan tersebut.

"Perbincangan dibuat menteri besar bersama kerajaan Pusat dan pada dasarnya kerajaan Pusat bersetuju membuat pembayaran balik dan kini kedua-dua pihak sedang meneliti kaedah pembayaran semula dan tempoh pembayaran, tapi kita yakin kita akan dapat balik bayaran tersebut yang mana kita gunakan duit dana khas untuk bina LPT3.

"Kerajaan negeri memang berharap mendapat semula pembayaran tersebut sebab kita berhasrat meneruskan pembinaan LPT3 dari Gemuroh ke Tumpat, Kelantan dan kita harap kita akan dapat gunakan sebahagian wang itu untuk pembinaan LPT3 bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya terutama pada musim perayaan," katanya.

Dalam pada itu, Rosli berkata, kerajaan Pusat juga kini dalam proses untuk menaik taraf jalan Persekutuan dari dua lorong kepada empat lorong bermula dari Kemaman ke Kuala Terengganu secara berperingkat.

Sekarang yang belum dinaik taraf ialah dari Awana Kijal ke Simpang Empat Kemasik di Kemaman serta dari Rantau Abang, Dungun ke Marang...saya difahamkan Kementerian Kewangan bersetuju memberi sebahagian peruntukan untuk kita laksanakan kerja menaik taraf jalan ini. Projek ini akan bermula awal tahun depan, bagaimanapun saya belum menerima maklumat jumlah peruntukan sebenar.

"Selepas siap sepenuhnya kerja menaik taraf jalan ini, pengguna mempunyai pilihan masing-masing untuk menggunakan LPT2 ataupun jalan Persekutuan yang mana kedua-duanya selesa untuk pengguna," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: