SANDAKAN: Rundingan sedang dijalankan dengan kumpulan penculik lima kru
warganegara Malaysia yang hilang selepas bot tunda mereka ditemui
terdampar di beting pasir di perairan Dent Haven berhampiran Tambisan di
Lahad Datu pada Isnin lepas.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihak
berkuasa Malaysia tahu siapa yang terlibat dan rundingan sedang
dijalankan dengan mereka bagi membebaskan lima orang yang terbabit.
"Sekarang ini saya meminta ahli keluarga yang terlibat (mangsa culik)
untuk mendiamkan diri dan tidak mendedahkan apa-apa hasil komunikasi
antara pihak berkuasa dengan pihak penculik.
"Kita tidak mahu maklumat itu dijadikan penggalak kepada kumpulan
penculik untuk terus melakukan aktiviti mereka," katanya pada sidang
media selepas Majlis Penyampaian Pingat Kedaulatan Negara kepada 316
anggota Jabatan Penjara Sabah di sini Khamis.
Beliau diminta mengulas perkembangan terbaharu kehilangan lima kru
selepas bot tunda yang mereka naiki ditemui terdampar di perairan Dent
Haven dan dipercayai mereka menjadi mangsa kumpulan penculik dari
Selatan Filipina.
Empat orang daripada lima kru itu ialah dari Tawau dan seorang dari Felda Jengka, Pahang.
Ditanya sama ada perlu penyediaan tambahan segera aset dan anggota di
perairan negeri ini berikutan insiden terbaharu itu, Nur Jazlan berkata
ia antara tindakan yang diambil kerajaan tetapi pemantauan keselamatan
di kawasan perairan Sabah yang luas bukan mudah.
Katanya apa yang penting adalah kerjasama daripada pihak pengusaha
aktiviti komersial yang menggunakan perairan timur negeri ini
berhampiran sempadan dengan negara jiran.
Menurutnya mereka perlu memaklumkan pergerakan kapal atau bot mereka
kepada pasukan keselamatan dan tidak menggunakan laluan perairan
terdapat bahaya risiko diculik.
"Tidak mungkin pasukan keselamatan boleh mengawasi semua aktiviti
mereka yang menjalankan kegiatan komersial dan menggunakan laluan
kawasan perairan berhampiran dengan sempadan negara jiran," kata Nur
Jazlan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan