Khamis, 21 Julai 2016

Lebih baik buat referendum dalam DAP berbanding bubar DUN - BN Pulau Pinang

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berpendapat DAP perlu mengadakan referendum dalam parti itu terlebih dahulu sebelum bercadang untuk membubarkan DUN Pulau Pinang sekaligus membuka laluan kepada pilihan raya mengejut.
 
Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata, langkah itu perlu diambil perhatian oleh DAP kerana ia tidak melibatkan keyakinan pengundi terhadap parti itu, sebaliknya lebih kepada keperibadian Ketua Menteri negeri itu Lim Guan Eng.
 
"Kita (BN Pulau Pinang) lihat pada dua faktor lain iaitu faktor dalaman parti DAP jadi ini bermakna DAP perlu buat satu pungutan suara dalam parti mereka. Keduanya hilang kepercayaan kepada pemimpin itu sendiri jadi dalam hal ini adalah isu perseorangan. 
 
"Inilah faktor yang perlu diambil kita oleh rakyat apabila mereka mahu membuat keputusan pada pemilihan akan datang," katanya kepada Antarapos.
 
Semalam Guan Eng memutuskan untuk menangguhkan rancangan mengadakan pilihan raya mengejut di negeri berkenaan, selepas kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) mencapai kata sepakat dengan semua parti komponen pembangkang lain.
 
"Tiada kata sepakat kerana berlandaskan isu yang berlaku ianya tidak bersangkut dengan ketidakyakinan terhadap kerajaan negeri. Ia lebih kepada isu perseorangan. 
 
"Saya kira PKR memandang dari segi keperluan untuk mengadakan pilihanraya mengejut hendaklah berlandaskan kepada keperluan dan kebajikan rakyat, kalau isu yang terlihat ialah keyakinan terhadap kerajaan sedia ada, itu punya alasan yang amat kukuh untuk mendapat mandat baru," kata Chang Yeow merujuk kepada kenyataan Guan Eng semalam.
 
Ekoran penangguhan itu, Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan isu berhubung cadangan pembubaran DUN Pulau Pinang.
 
Laporan media baru-baru ini memetik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy sebagai berkata DAP menyenaraikan dua pilihan sebagai respons kepada dua tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng.
 
Teng berpendapat DAP perlu mengambil kira kewajaran untuk membubarkan DUN dan bukan semata-mata atas kepentingan peribadi.
 
"Saya kira ada dua faktor untuk membubarkan DUN, satu adalah hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri oleh 40 ADUN yang ada dalam dewan. 
 
"Kedua ialah apabila berlakunya perubahan dalam parti komponen PH kalau PKR yang bertindak untuk keluar daripada PH jadi ia menjejaskan pentadbiran kerajaan jadi perlu dibubarkan untuk mendapatkan mandat baru. 
 
"Tapi dalam hal ini kedua-dua faktor ini tidak wujud untuk membubarkan DUN walaupun pembubaran itu adalah hak mereka yang memegang tampuk kerajaan negeri," ujar beliau.
 
 

Tiada ulasan: