Rabu, 13 Julai 2016

LAPORAN AUDIT 1MDB, MANA SUARA ZAHID HAMIDI?

shahbudindotcom


Setelah berhari-hari sejak Sarawak Report membuat siri pendedahannya berkaitan Laporan Audit 1MDB yang masih dirantai Akta Rahsia Rasmi atau OSA, barangkali antara yang ditunggu-tunggu juga ialah apakah reaksi Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara itu.

Jika bersetuju bahawa laporan audit itu masih perlu diOSAkan, kenapa sehingga ini beliau kekal mendiamkan diri?

Bercakaplah dengan media atau tulislah sepatah dua ayat sokongan mengenainya di laman Facebook atau Twitter miliknya.

Kalau boleh bercakap mengenai IS, Daish, pengaruhnya di universiti dan visa berkaitan pengganas, mustahil Zahid tak boleh menyelit untuk bercakap mempertahankan keperluan Laporan Audit 1MDB itu terus diOSAkan sebagaimana yang sudah tiga kali dilakukan oleh Salleh Said Keruak.

Mungkinkah diamnya Zahid kerana dalam hatinya lebih banyak berakar perasaan tidak setuju laporan itu terus diOSAkan, tetapi tidak upaya berbuat apa-apa dan kerana lebih sayangkan jawatan serta kedudukannya dalam kerajaan?

Disebabkan berada dalam dilema, maka berdiam diri adalah sebaik-baik pilihan yang mampu dilakukannya.

Sekali fikir, memang merbahaya kepada kedudukannya jika Zahid cuba-cuba untuk berbeza pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai tidak mempertahankan Najib berkaitan Laporan Audit 1MDB yang kini sudah menjadi bualan ramai berikutan pendedahan yang dilakukan oleh Sarawak Report.

Dengan cengkaman Najib dalam UMNO dan institusi awam yang semakin kukuh dan bagaimana beliau telah menyingkirkan musuh-musuh yang cuba menggugat kedudukannya, memang terlihat sukar untuk Zahid mengambil langkah menongkah arus.

Tetapi jika Zahid berfikir lebih daripada sekali, peluang bagaikan sedang terbuka luas untuk beliau melonjakkan dirinya dari segi sokongan rakyat jika segera memberanikan diri bersuara meminta agar Laporan Audit 1MDB itu dibebaskan daripada OSA.

Ia tidak bermakna, dengan berbuat begitu, beliau seperti mahu berbalah dengan Najib atau senada dengan Muhyiddin Yassin atau Ezam Mohd Nor yang lebih dulu membuat desakan demikian, tetapi kerana itulah yang terbaik dan dikehendaki rakyat buat waktu ini.

Sebagaimana Najib sendiri pernah meminta agar orangramai menunggu laporan audit dan Ketua Audit Negara, Ambrin Buang pada 7 Mac lalu yang penegasannya dinyatakan oleh Hasan Ariffin bahawa Laporan Audit 1MDB tidak lagi menjadi OSA setelah Laporan PAC dibentangkan di Parlimen, bermakna keberanian Zahid bersuara hanyalah sebagai membuktikan kerajaan benar-benar menepati janji-janjinya.

Keberanian Zahid itu, meskipun mungkin mula mencambahkan rasa curiga dan permusuhan Najib terhadapnya, namun percayalah, sokongan rakyat akan melimpah terhadapnya. 

Sokongan dalam UMNO juga tambah meningkat kepadanya kerana ketika ini ahli dan pemimpin UMNO seperti berada dalam keadaan "diluah mati emak, ditelan mati bapa" berkaitan laporan audit itu.

Mereka tahu dan sedar laporan audit itu mengesahkan adanya kesalahan dan salah laku dalam 1MDB, tetapi tidak berani bercakap apa-apa kerana tidak mahu dilihat tidak menyokong Najib yang sering dilencongkan sebagai tidak setia kepada parti dan ingin menjatuhkan kerajaan.

Namun demikian, secara senyap-senyap kian ramai yang sedar beban semakin berat yang diakibatkan oleh Najib kepada UMNO dan negara ini. Mereka juga sedar, selagi ada Najib, masalah parti dan negara akan berterusan dan tambah menyusahkan.

Mahu tidak mahu, isu Laporan Audit 1MDB ini adalah peluang yang sedang terbuka untuk Zahid. Dengan turut meminta ia dinyahkan daripada OSA, Zahid berpeluang meningkatkan sokongan ramai terhadapnya serta menonjolkan wajah kepimpinannya yang lebih diyakini rakyat.

Berbanding terus berdiam diri, tidak ada apa-apa yang berubah kepada Zahid.


Tiada ulasan: