Jumaat, 22 Julai 2016

Lagi pemilik kenderaan tentera ditahan

 
Selepas gimik pelancar roket Zawara Coffee, sebuah lagi kenderaan yang dilupuskan Angkatan Tentera Malaysia ditahan.


Lagi pemilik kenderaan tentera ditahan


PUTRAJAYA: Polis semalam menahan seorang individu dan merampas kenderaan tentera yang dilupus di kuarters penjawat awam di Presint 18, tiga hari selepas menahan sebuah trak dilengkap pelancar roket yang merupakan gimik pengiklanan sebuah restoran.

Bernama melaporkan polis menemui kenderaan berwarna hitam dan berceloreng di kawasan letak kenderaan kuarters berkenaan kira-kira 2.15 petang semalam.

Seorang lelaki berumur 32 tahun mengaku pemilik kenderaan pacuan empat roda Pinzgauer itu direman untuk disiasat di bawah Seksyen 171 Kanun Keseksaan kerana memiliki peralatan mirip pihak berkuasa.

Lelaki itu mendakwa ia merupakan kenderaan tender daripada Kementerian Pertahanan yang dibeli daripada syarikat besi buruk di Pulau Pinang akhir tahun lalu.

Kenderaan itu juga lulus ujian Puspakom dan kemudian dihantar ke Klang, Selangor bagi penukaran warna supaya tidak terlalu mirip seperti kenderaan tentera, menurut polis Putrajaya yang menyoal lelaki itu.

Selasa lepas, polis menahan sebuah trak dilengkap pelancar roket selepas ia mencetuskan keadaan panik di Cyberjaya.

Bagaimanapun, ia merupakan gimik pengiklanan Zawara Coffee, yang berkata pelancar roket palsu itu digunakan bagi melambangkan “tenaga” daripada meminum kopi.

“Sebab itu kita juga tulis ‘take a shot’, ia melambangkan kopi espresso,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zawara Coffee Sdn. Bhd, Kamarul Ariff kepada FMT.

Syarikat itu turut meminta maaf sekiranya ia menimbulkan kebimbangan dan berjanji akan mengubahsuai kenderaan itu.

Dua lelaki yang ditahan susulan itu dibebaskan ikat jamin dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana mengubah suai kenderaan.

Tiada ulasan: