Isnin, 18 Julai 2016

Lagi dakwaan 9,000 pekerja asing perbaharui permit secara tidak sah

Slide1
Roketkini.com


BUKIT MERTAJAM: Merujuk laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan April lalu, sebanyak 9,000 permit pekerja asing telah diperbaharui secara tidak sah antara tahun 2013 dan 2014 melalui kaedah automatik dan tidak mengikut Prosedur Operasi Piawai (SOP).

Pembaharuan permit pekerja asing melalui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) itu dilakukan melalui MyEG yang merupakan platform perkhidmatan elektronik kerajaan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, berkata selain rekod buruk, MyEG juga telah dilantik untuk mendaftarkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pada September 2014 walaupun waktu sebenar untuk pendaftaran tersebut ialah setahun lebih lewat iaitu September 2015.

“Kedua-dua penasihat undang-undang bagi Jabatan Imigresen dan Jabatan Audit Neara berpandangan bahawa tindak-tanduk MyEG itu telah melanggar Akta Imigresen 1963.

“Kita tidak tahu jika terdapat perlanggaran lain yang dilakukan MyEG sepanjang 2015, setelah skop kuasanya diluaskan untuk memperbaharui permit kerja sementara dan telah melanjutkan sebanyak 1,318,872 permit dalam tahun tersebut,” kata Steven.

Menurutnya, arahan supaya MyEG menghentikan pembaharuan automatik itu hanya dibuat pada 4 Mac 2016 lalu.

“Kita nak tahu adakah sebarang tindakan diambil terhadap MyEG kerana telah melanggar undang-undang imigresen yang telah membenarkan seramai 9,000 pekerja asing diperbaharui permit secara tidak sah?” soal Steven.

Kontrak RM29 juta dipersoalkan

Dalam perkara sama, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang telah membayar sebuah syarikat swasta kontrak sebanyak RM29.9 juta untuk membina sebuah sistem dalam talian yang telah menimbulkan beberapa persoalan.

Syarikat yang berjaya memperoleh kontrak itu ialah HeiTech Padu Bhd yang secara kebetulan merupakan pembekal kepada Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) yang terpalit kontroversi.

Sedangkan kata Steven, dalam sidang Parlimen April 2015 lalu, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berjanji bahawa kerajaan akan membangunkan sistem dalam taliannya sendiri untuk menguruskan permit pekerja dan bukannya bergantung kepada sistem MyEG.

“Mengapa aplikasi jutaan ringgit itu diasingkan dan seolah-olah untuk membiarkan MyEG mendapat lebih banyak keuntungan mudah menjadi orang tengah kepada pembaharuan permit kerja sementara (PLKS)?” soalnya.

Jelas beliau, dengan mengenakan caj sebanyak RM35 bagi setiap transaksi, MyEG dengan mudah mendapat RM46.2 juta pada 2015.

Beliau juga mempersoalkan sama ada Wan Junaidi berbohong pada April 2014 dengan berkata kerajaan akan membina aplikasinya sendiri sedangkan system tersebut sudah tersedia lima bulan lebih awal pada November 2014. – Roketkini.com

Tiada ulasan: