Khamis, 14 Julai 2016

Khairy mahu jumpa TMJ minta penjelasan

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memberi jaminan akan menyelesaikan masalah yang timbul sehingga menyebabkan beberapa pemain Johor Darul Takzim (JDT) mengumumkan persaraan mereka.
 
Justeru pihaknya akan menghubungi Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan pemilik kelab JDT untuk meminta penjelasan.
 
“Tugas saya ialah mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan TMJ ini supaya dapat diatasi.
 
“Sekiranya berjaya diatasi kita dapat memilih barisan pemain yang terbaik dalam Piala AFF nanti,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Kecemerlangan Paralimpik, di sini hari ini.
 
Terdahulu TMJ ada mengeluarkan kenyataan berhubung kecederaan dialami pemain semasa sesi latihan skuad kebangsaan baru-baru ini yang mungkin menjadi penyebab pemain JDT bersara daripada skuad kebangsaan.
 
Hari ini, dua lagi pemain pasukan JDT Amirul Hadi Zainal dan S. Kunanlan mengumumkan persaraan mereka menerusi laman web johorsoutherntigers.com.my dan Facebook pagi ini.
 
Kedua-duanya mengikut jejak langkah Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Safiq Rahim yang mengumumkan persaraan kelmarin.
 
Khairy berkata persaraan mereka merupakan satu perkara yang serius.
 
“Saya berharap pemain tempatan menganggap peluang untuk bermain mewakili Malaysia sebagai satu penghormatan yang besar.
 
“Dan saya harap mereka tak buat keputusan secara terburu-buru, tanpa melihat kepada penghormatan yang datang dengan mewakili negara,” katanya.
 
Beliau pada masa sama turut menggesa orang ramai agar tidak cepat menghukum mana-mana pihak berhubung persaraan pemain terbabit daripada pasukan kebangsaan.
 
“Saya lihat dalam media sosial banyak komen pro dan kontra. Banyak yang memberi komen negatif kepada pemain yang mengumumkan persaraan mereka, dan ada komen negatif terhadap FAM,” katanya.
 
Khairy berkata pihaknya juga masih ada masa untuk menyiasat dengan lebih mendalam mengenai persaraan pemain itu.
 
 

Tiada ulasan: