Khamis, 21 Julai 2016

Kerani wanita terlibat dalam rompakan JPJ Wangsa Maju

 
 


Seorang kerani wanita yang berkhidmat di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju, di Setapak dipercayai dalang utama kejadian samun membabitkan wang RM754,840.30 awal 4 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, wanita berusia 40 tahun itu menerusi hasil siasatan polis didapati telah memperoleh sebahagian hasil wang yang dilarikan penyamun bermotosikal dan bersenjatakan parang.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan wanita itu terdesak berbuat demikian kerana memerlukan wang.
"Sejurus selepas kejadian itu, Polis Kuala Lumpur telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas dengan dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Pasukan khas ini telah berjaya membuat sembilan tangkapan membabitkan seorang perempuan India, seorang perempuan Melayu, seorang lelaki India, seorang lelaki keturunan Indonesia dan lima lelaki Melayu.

"Polis telah berjaya merampas sebahagian wang rompakan berjumlah RM111,400.00 dan barang kemas bernilai RM5,256.00 daripada wanita yang ditangkap itu," ujarnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Katanya, polis juga telah mengenalpasti dua suspek utama yang melakukan samun tersebut dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan dan memberkas mereka yang terlibat.

"Identiti salah seorang suspek ialah Muhammad Fadzil Abdullah berusia 22 tahun berasal dari Sungai Plong, Sungai Buloh Selangor," ujarnya.

Ujarnya lagi, hasil siasatan lanjut polis mengesahkan kerani wanita itu baru sahaja dipindahkan dari bahagian perlesenan ke bahagian pengiraan akaun.

Dalam isu sama beliau berkata kesemua suspek yang ditangkap berusia dalam lingkungan 24 tahun hingga 67 tahun dan direman sehingga 22 Julai ini (esok).

Dalam kejadian pada 4 Julai sekitar pukul 7.42 petang itu, anggota JPJ disamun ketika proses pengiraan hasil pendapatan harian. Kejadian samun ini dilakukan oleh dua suspek yang memakai helmet berpenutup muka dan bersenjatakan sebilah parang menerusi pintu belakang yang tidak berkunci.

Wang tunai berjumlah RM754,840.30 dan empat keping cek bernilai RM444,003.00 telah berjaya dilarikan dua penyamun itu.

Amar Singh meminta kerjasama orang ramai supaya tampil ke mana-mana balai berhampiran sekiranya mempunyai maklumat lokasi kedua-dua suspek atau terlihat mereka di mana-mana


Tiada ulasan: