Rabu, 13 Julai 2016

Kenapa senjata api haram mudah diperolehi?

 
Timbul persoalan berhubung penyalahgunaan senjata api haram secara berleluasa di negara ini yang menunjukkan kegagalan penguatkuasaan undang-undang. 


Sim Tze Tzin


PETALING JAYA: Kerajaan tidak boleh lagi memberi alasan dan perlu bertindak segera untuk mengembalikan keyakinan rakyat, susulan satu siri kes tembakan yang berlaku di seluruh negara baru-baru ini.

Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, dalam tempoh 30 hari lalu, negara dikejutkan dengan 8 kes tembakan dan semuanya dipercayai membabitkan senjata api haram.

Sehubungan itu, katanya, timbul persoalan berhubung penyalahgunaan senjata api haram secara berleluasa di negara ini yang menunjukkan kegagalan penguatkuasaan undang-undang.

“Kenapa senjata api haram begitu mudah diperolehi?

“Adakah negara kita tidak mempunyai undang-undang seperti sesetengah tempat di Thailand dan Filipina?” soalnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian susulan empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak dua tahun yang ditembak mati seorang saudara mereka di Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Razaruddin Hussain berkata, kejadian pada jam 2.55 pagi tadi dipercayai bermotifkan wang.

“Semua mangsa ditembak menggunakan pistol semi automatik yang dipercayai diperoleh secara haram dan polis menemui beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian,” kata Razaruddin.

Sim yang terkejut dan marah dengan tragedi itu berkata, polis mempunyai dana dan kemudahan mencukupi untuk menangani jenayah-jenayah sedemikian melalui penguatkuasaan undang-undang lebih ketat.

“Saya menuntut polis mengakui kegagalan mereka dan melakukan pembaharuan. Rakyat Malaysia berhak hidup dalam persekitaran yang selamat,” katanya.

Tiada ulasan: