Isnin, 18 Julai 2016

Kenaikan melampau 150 peratus caj letak kereta di Kuala Lumpur, siapa untung?

limlipeng_M1

 Oleh Fatih Hassan Nordin


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disaran supaya menunggu projek Mass Rapid Transit (MRT) siap dan beroperasi sepenuhnya sebelum mengambil langkah menaikkan kadar caj tempat letak kereta di seluruh lokasi di ibu kota.

Menurut Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng, impak pembinaan MRT yang dijangka akan mengurangkan masalah lalulintas teruk di ibu kota wajar diteliti sebelum apa-apa keputusan mengenai kenaikan tersebut diputuskan pihak DBKL.

“DBKL sepatutnya menunggu sehingga projek MRT siap dan beroperasi buat seketika sebelum kenaikan harga caj tempat letak kereta dilaksanakan kerana projek tersebut berkemungkinan besar mengurangkan kesesakan lalulintas di ibu kota,” katanya kepada Roketkini.com

Beliau berkata demikian mengulas tindakan DBKL yang menaikkan kadar caj tempat letak kereta miliknya di beberapa lokasi tumpuan di ibu kota sebanyak 150 peratus berkuatkuasa hari ini.

Kenaikan RM2.00 bagi jam pertama daripada RM0.80 sebelumnya itu melibatkan lokasi-lokasi tumpuan komersial antaranya Bukit Bintang, Bangsar, Bukit Damansara, Taman Tun Dr Ismail, Desa Hartamas dan Solaris Mont Kiara.

Manakala kawasan di luar Pusat Bandar dan Pinggir Bandar masing-masing akan mengalami kenaikan sebanyak 200 peratus dan 100 peratus berkuatkuasa 1 Ogos.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz dilaporkan berkata meskipun keputusan itu dilihat tidak popular, kenaikan seumpama itu wajar dilaksanakan kononnya untuk mengatasi kesesakan trafik di Kuala Lumpur.

Menyifatkan ia sebagai tidak munasabah, Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, tindakan DBKL itu jelas membebankan rakyat, malah bakal mencetuskan situasi di mana peniaga di sekitar kawasan yang terlibat menaikkan harga barangan.

“Kalau mahu naikkan caj dengan alasan bahawa caj berkenaan sudah lama tidak dinaikkan, naiklah dengan kadar 20 peratus dan bukannya 200 peratus. Kadar kenaikan seumpama itu adalah terlalu drastik dan membebankan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang ternyata kesal dengan tindakan DBKL itu turut mempersoalkan jika wujud campur tangan pihak yang berkepentingan dalam langkah kenaikan drastik terbabit, sekaligus mendesak supaya pihak yang bertanggungjawab menjawab dakwaannya itu.

“Adakah kenaikan harga caj tempat letak kereta di KL ini melibatkan kepentingan kroni UMNO? Sekiranya tidak, mengapa kerajaan tidak berbincang dengan wakil dari pelbagai pihak masyarakat rakyat sebelum ia ditentukan?

“Saya desak ahli ahli panel penasihat DBKL khususnya dari parti MCA, Gerakan dan MIC sama ada mereka bersetuju dengan kenaikan harga ini. Saya juga nak tahu keputusan siapa ini? Menteri Wilayah Persekutuan atau Datuk Bandar?” soalnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: