Isnin, 18 Julai 2016

Kekal akhbar pilihan nombor 1

Kekal akhbar pilihan nombor 1
Konvoi, antara program diadakan team Sinar Harian Kelantan untuk berada lebih dekat dengan pembaca.
 
 


10 tahun usia Sinar Harian Kelantan yang pada awal kemunculannya, ia memaparkan ikon seorang lelaki botak yang membawa mesej 'Sinar banar'. Terkenal di serata pelosok kampung imej lelaki berkenaan ketika itu.

Edisi Kelantan dilancarkan serentak dengan edisi Terengganu dengan liputan melangkaui Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Gua Musang, Bachok, Tumpat, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kuala Krai, Pasir Puteh Tanah Merah dan Jeli.

Alhamdulillah, onak ranjau melahirkan isu sulung nyata berbaloi. Sinar Harian kena dan tepat dengan selera orang Kelantan, menjadikan akhbar ini paling dicari-cari setiap pagi, buat peneman kala bersantai di kedai kopi.

Kelibat wartawannya ditunggu di setiap majlis, hinggakan banyak berlaku situasi, ‘majlis tidak akan bermula selagi wartawan Sinar tak sampai’ atau ‘kita tunggu Sinar sampai, baru kita start deh’.Demikian kata pengacara majlis.

Wow, terima kasih pembaca budiman. Anda yang menjadikan kami seperti ini. Kekal nombor satu di Kelantan, dan semoga kami terus berada di puncak takhta tanpa sedikit pun rasa gayat.

SEBAIK edisi sulung menjengah pasaran dengan harga pengenalan hanya 50 sen senaskhah, 40,000 naskhah yang dicetak habis dijual dalam masa beberapa jam! Luar biasa sekali. Kejayaan ini sekali gus meyakinkan pengurusan, Sinar Karangkraf Sdn Bhd dan seluruh kakitangan untuk meningkatkan lagi usaha agar tidak menghampakan hasrat dan harapan pembaca di negeri ini.

Dari kampung terpencil hinggalah ke pekan dan bandar, penerimaan warga Kelantan terhadap akhbar ini amat-amat memberangsangkan. Baca sambil tersenyum puas, seolah-olah tidak percaya Kelantan sudah ada akhbar komuniti sendiri. Lepas ini, apa saja berita, apa saja aduan, cari saja Sinar Harian, insya-ALLAH bereh. Itu yang membuatkan pembaca semakin menyukai akhbar ini.

Lokaliti, cakna dan sangat kena dengan selera orang pantai timur. Sinar Harian bagaikan harapan baharu buat seluruh masyarakat Kelantan. Setiap pagi, Sinar Harian adalah pelengkap sarapan buat pembaca dan seisi keluarga. Akhbar berkonsep komuniti ini berjaya membawa suara dan rintihan serta membuka minda rakyat Kelantan yang dahagakan bahan bacaan yang dekat dengan mereka.

Dengan bermatlamatkan ‘setiap orang mampu menjadi bahan cerita dan berita untuk dikongsi bersama pembaca,’ Skuad Cakna yang terdiri daripada wartawan muda dan berkaliber sedia memikul amanah serta tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Mereka inilah yang akan memastikan setiap berita dari 11 daerah dipaparkan dengan tepat, terperinci dan cepat.

Skuad Cakna merupakan kumpulan wartawan dinamik yang sentiasa bergerak menghidu berita di kawasan masing-masing. Mereka ibarat wakil rakyat yang sedia menerima luahan penduduk tanpa mengira waktu.

Pendek kata, ada sahaja berita, info atau berlaku apa saja tragedi, hubungi saja Skuad Cakna, mereka akan tiba dengan kereta merah putih comel untuk melaporkan berita dari tempat anda.

Angkat isu dekat dengan pembaca

Apa saja berita baik politik, sukan, krisis istana, tragedi, isu-isu global, malah filem-filem hot di pawagam boleh menjadi isu muka depan untuk tatapan pembacanya yang tersendiri.

Pembaharuan ini memberi elemen kejutan buat pembaca, seterusnya menangkaphati mereka untuk terus tertanya-tanya, apa lagi yang ingin Sinar Harian sajikan untuk pembaca esok. Itulah kunci kekuatan yang menjadikan Sinar Harian, berbeza dengan medium berita yang lain.

Sekecil-kecil berita, masalah longkang tersumbat, ular masuk rumah hatta isu tahi lembu bertepek atas jalan pun, kami ambil cakna kerana kami tahu, berita sebeginilah yang mewakili hati penduduk di Kampung Lalat, di Kampung Pek Machang, juga warga Gua Musang dan Tumpat.

Mereka mahu buat aduan, mereka cari Sinar Harian. Mereka mahu buat kenduri kahwin pun, cari Sinar Harian. Hebat tak hebat penangan Sinar Harian.

Bukan sahaja isu-isu setempat, Sinar Harian Kelantan juga faham kehendak pembaca negeri ini yang majoritinya adalah penyokong tegar pasukan bola sepak Kelantan.

Jatuh bangun, ketawa dan air mata The Red Warriors, kami paparkannya dalam akhbar ini, sekurang-kurangnya tiga halaman sekiranya ada perlawanan.

Sebagai penaja juga, kami pastikan setiap isu mengenai TRW, dilaporkan sebaik mungkin. Isu pertukaran pemain, penajaan, jurulatih dan prestasi TRW, semuanya sudah cukup lengkap dalam
Sinar Harian menyebabkan penyokong Kelantan tidak perlu mencari sumber berita lain lagi.

Raih kepercayaan banyak pihak

10 tahun beroperasi dengan beberapa perubahan, rombakan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa, Alhamdulillah, Sinar Harian Kelantan juga mula meraih kepercayaan bukan sahaja pembaca, tetapi juga golongan profesional, ahli politik dan juga pengiklan.

Dari sudut politik, berita kami disifatkan lebih adil kerana memaparkan isu semua pihak, sama
ada pembangkang mahupun kerajaan. Itulah antara resipi kami untuk terus kekal diterima pembaca. Dengan slogan ‘telus dan tulus’, kami hanya melaporkan berita yang tepat dan daripada sumber yang sahih. Kerana itu jugalah, hubungan kami baik dengan majoriti ahli politik yang ada di Malaysia, kerana ‘spin’ atau putar belit berita untuk lariskan jualan, bukanlah cara kami.

Bermula dari detik pertama kali diterbitkan, Sinar Harian Kelantan kekal menjadi akhbar nombor satu di negeri ini. Melihat perkembangan ini juga, pihak pengiklan berlumba-lumba untuk memaparkan produk dan program mereka di dalam akhbar ini.

Daripada syarikat korporat hingga ke kedai-kedai kecil, semuanya ingin merebut peluang mengiklan produk kerana mereka percaya, akhbar komuniti ini adalah akhbar rakyat Kelantan yang mempunyai pengaruh jauh lebih kuat daripada akhbar lain.

Sesungguhnya, kami masih lagi belajar dan akan terus belajar. Proses pembelajaran yang panjang dan tidak akan terhenti demi memastikan akhbar yang anda beli, anda rasa puas dan berbaloi membacanya.

Kerja kami ibadah kami, insya-ALLAH sudah kami laksanakan sebaik mungkin. Itulah pegangan seluruh warga editorial, pengedaran dan percetakan Sinar Harian.

Tinggal berserah kepada Yang Satu untuk menentukan rezeki dan perjalanan kami, semoga terus lancar dan dipermudahkan.

Buat pembaca budiman, terima kasih dan teruskan sokongan tidak berbelah bahagi anda.

“Jange bereti sokong Sinar deh, kami saye demo terrr!”

INFO

EDITORIAL SINAR HARIAN EDISI KELANTAN:

EDITOR: Wan Suryana Ton Mohamad

PENOLONG EDITOR: Mohd Hazrizal Hanapiah

KETUA WARTAWAN: Mohd Zailani Abd Rahman

PEN KETUA WARTAWAN: Rosmiza Kasim

WARTAWAN BIRO: Habsah Ismail
Sapinah Ab Ghani
Rosalwani Che Soh
Murni Abdul Rashid
Adilla Sharinni Wahid
Siti Fatihah Awang

WARTAWAN SUKAN: Mazram Idzam Ridzal Mahmud

JURUGAMBAR: Jazaly Amry Jaafar

SKUAD:
BACHOK: Zaimatuljuwita Abdullah
TUMPAT: Rohana Ismail
PASIR MAS: Hazelen Liyana Kamarudin
RANTAU PANJANG: Noor Azlida Alimin
PASIR PUTEH: Norhasram Mohamad
MACHANG: Zumurni Hamzah
Kuala KRAI: Azura Mohamad
TANAH MERAH: Azman Che Man
GUA MUSANG: Akmaliah Razak


Tiada ulasan: