Sabtu, 23 Julai 2016

Ke mana pergi Jho Low, Riza?

OBT
 

KENYATAAN Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kelmarin untuk memfailkan permohonan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam bentuk aset yang berkait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapat perhatian seluruh dunia.

Melalui kenyataan Peguam Negaranya Loretta E Lynch yang panjang lebar itu, jelas menunjukkan dua watak yang penting dalam isu berkaitan 1MDB ini perlu ditumpukan oleh banyak  pihak.

Mereka adalah ahli perniagaan Jho Low dan anak tiri perdana menteri, Riza Aziz.

Penolong Pengarang Sin Chew Jit Poh, Tay Tian Yan yang menulis dalam kolumnya berpendapat, sehingga hari ini, Jho Low dan Riza bukan sahaja tidak dikenakan tindakan undang-undang, malah ke mana kedua mereka pergi pun sukar dikesan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah cuba memanggil mereka untuk memberikan kenyataan berhubung dengan isu  yang sedang disiasat, namun gagal.

Pihak pengurusan 1MDB sendiri pun tidak mempunyai inisiatif untuk memanggil mereka membantu menyelesaikan masalah kewangan syarikat pelaburan strategik negara itu.

"Sekiranya kedua-dua mereka tidak dipanggil untuk tampil memberikan kenyataan secara mendalam mengenai peranan mereka dalam 1MDB, sudah tentu isu 1MDB tetap tidak mampu diselesaikan sampai bila-bila," kata Tian Yan dalam tulisannya.

Beliau menyoal apakah peranan yang dimainkan mereka berdua sehingga mempunyai pengaruh yang begitu besar dalam skandal 1MDB ini.

Kata beliau lagi, kerajaan kini tiada pilihan lagi selain perlu bekerjasama dengan negara-negara lain bagi memastikan semua aset milik 1MDB dikembalikan semula kepada Malaysia.

Gerakan Pulau Pinang siap sedia

Selepas berita Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dikatakan ingin membubarkan Dun dan mengadakan pilihan raya Negeri (PRN) lebih awal, Gerakan Pulau Pinang turut bersiap sedia untuk menghadapinya.

Pengerusi Gerakan, Teng Chang Yeow sendiri mengakui beliau telah memendekkan cutinya untuk kembali ke Pulau Pinang bagi mengetuai partinya membuat persiapan sekiranya Dun dibubarkan.

Chang Yeow ketika bercakap kepada Orientaldaily, beliau sepatutnya mengambil cuti selama enam bulan sejak dua bulan lepas.

Bagaimanapun, beliau kini perlu memikul tanggungjawabnya bagi memastikan semua kerja persiapan menghadapi PRN dapat dilakukan dengan lancar.

Beliau berkata, semua senarai calon partinya turut akan dikemas kini bagi memastikan Gerakan berada di kedudukan yang terbaik untuk menentang DAP dalam PRN kali ini.

Manakala satu lagi komponen BN, iaitu MCA turut tidak terkecuali untuk membuat persiapan menghadapi PRN.

Menurut Timbalan Pengerusi MCA Pulau Pinang, Tan Teik Cheng, MCA sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, cuma apa yang dikesalinya ialah kenapa Guan Eng begitu terdesak untuk mengadakan PRN lebih awal.

"Sebelum ini, PRU dan PRN dijalankan secara serentak. Jika PRN diadakan lebih awal, ia pastinya menyusahkan rakyat Pulau Pinang," katanya.

Galak umat Islam melancong ke Taipei

Jabatan Penerangan dan Pelancongan Taipei menggalakkan umat Islam di Malaysia melancong ke negaranya memandangkan ia sebuah destinasi pelancongan menarik.

Menurut pengerusinya, Chen Yeh-shin, pihaknya telah menyediakan pelbagai kemudahan khas untuk pelancong beragama Islam dari negara kita, ini termasuklah mempunyai lebih daripada 100 buah restoran halal di seluruh Taipei.

Selain itu, beliau berkata, terdapat juga pelbagai pakej pelancongan menarik yang turut disediakan dengan harga promosi yang berpatutan.

"Antara Taiwan dan Malaysia selama ini mempunyai hubungan yang rapat dari segi perdagangan dua hala.
"Hubungan kedua-dua negara ini kini boleh dipertingkatkan lagi melalui bidang pelancongan dan pertukaran budaya," katanya kepada Sin Chew Jit Poh

Tiada ulasan: