Jumaat, 8 Julai 2016

Kangen water tidak berlesen- KP Kesihatan

MalaysiaGazette
 
 


Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan arahan kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengambil tindakan terhadap pengedar minuman yang didakwa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit, Kangen water.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kangen water tidak mempunyai lesen diperlukan di bawah Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Untuk makluman ramai "Kangen water" tidak berlesen seperti yang diperlukan di bawah Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Sehubungan dengan itu tindakan akan di ambil dan arahan telah dikeluarkan kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya di laman facebook rasminya.

Kangen water didakwa merupakan air alkali yang telah diionkan kononnya mampu menghapuskan 99 peratus bakteria serta berkesan untuk mengurangkan kolestrol dan juga penyakit berkaitan saraf.

Ia juga didakwa boleh menghapuskan radikal bebas dan mengaktifkan sel-sel penting seperti DNA selain dikatakan mempunyai PH yang tinggi hampir menyamai PH air zam-zam.

Mesin Kangen Water dijual pada harga lebih RM5,000 sehingga RM20,000 seunit bagaimanapun, air berkenaan turut dibotolkan dan dijual pada harga RM10 hingga RM20.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: