Jumaat, 29 Julai 2016

Kami digelar 'Anwarinas' kerana pertahan prinsip Pakatan Rakyat

MALAYSIA DATELINE
 
 
Pakatan Harapan itubuhkan bagi mengantikan Pakatan RakyatPakatan Harapan itubuhkan bagi mengantikan Pakatan Rakyat


Hampir kesemua bekas pemimpin Pas yang kini menyertai Amanah komited mempertahankan prinsip dan keputusan yang dicapai dalam Pakatan Rakyat sehingga mereka digelar 'Anwarinas' dan tersingkir daripada parti itu.

Mengimbau kembali konflik dalaman Pas sehingga berkuburnya Pakatan Rakyat, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, komitmen beliau dan rakan-rakannya dalam Pas untuk mempertahankan kerjasama dalam Pakatan Rakyat mengakibatkan mereka dipandang serong sebahagian anggota Pas.

"Ketika di dalam Pas, sekumpulan pemimpin mereka diberi pelbagai gelaran hanya kerana cuba mempertahankan keutuhan Pakatan Rakyat pada setiap kali mesyuarat parti itu.

"Antara gelaran yang diberikan kepada mereka adalah 'Anwarinas'. Gelaran itu diberikan apabila kumpulan ini mempertahankan keputusan Pakatan Rakyat mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat memerintah," ujarnya.

Menurut Mohamad, sebahagian pemimpin Pas tidak menyukai keputusan ini lalu gelaran 'Anwarinas' terus berkumandang setiap kali menjelang muktamar Pas.

"Paling parah pada Muktamar Pas 2015, apabila sekumpulan yang mempertahan Pakatan Rakyat dan mempertahan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri menjadi mangsa sehingga berlaku rancangan penyingkiran kumpulan ini sekaligus menguburkan muafakat Pakatan Rakyat," ujar beliau.

Kumpulan yang disingkirkan daripada Pas ini, jelas beliau kemudian menubuhkan Amanah untuk terus mendokong kerjasama politik parti-parti pembangkang bagi kebaikan rakyat.

"Kumpulan ini adalah termasuk saya dan pimpinan Amanah yang lain. Maka Pakatan Harapan muncul," ujarnya dalam satu kenyataan media.

Mohamad dipercayai mengeluarkan kenyataan media bagi menjawab dakwaan segelintir pemimpin Keadilan yang mempertikaikan penubuhan Pakatan Harapan kerana masih menaruh kepercayaan terhadap Pas dan yakin Pakatan Rakyat boleh 'diselamatkan'.

Mohamad SabuMohamad SabuMohamad menambah, beliau dan rakan-rakannya dalam Amanah bertekad untuk terus maju bersama Pakatan Harapan dan berazam untuk bekerja kuat demi menempatkan Amanah dalam arena politik Malaysia tanpa mengemis atau meminta-minta.

"Kami akan pertahankan kewibawaan dan kekuatan solidariti bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

"Walaupun kami yang menjadi mangsa kerana mempertahankan konsep Pakatan Rakyat, namun kami tetap bersabar.

"Kami akan terus bekerja untuk menjayakan kerjasama parti-parti politik atas kepentingan bersama menghadapi BN," ujarnya.

Mohamad menambah kata, Amanah berazam mencorak politik baru bagi menyelamatkan negara yang sedang kecundang akibat rasuah dan salah guna kuasa.

"Rekod paling nyata apabila berlaku pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh akibat keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Maka kekekosongan itu telah diputuskan oleh PKR dan dipersetujui oleh Pakatan Rakyat pada waktu itu bahawa Datuk Seri Dr Wan Azizah akan bertanding.

"Ketika itu sebahagian pimpinan Pas memboikot PRK tersebut. Malah Pemuda Pas membuat tunjuk perasan menentang pencalonan Wan Azizah dengan diberi perlindungan oleh pemimpin Pas," imbas beliau.

Namun beliau dan akan-rakan yang kini bersama Amanah turun berhempas pulas bagi memastikan Dr Wan Azizah menang dan kemudian dipilih sebagai ketua pembangkang.

"Pengorbanan ini bukan untuk diungkit, tetapi bagi mengorak sejarah bagaimana Amanah akhirnya lahir dan berada di arena politik Malaysia," ujarnya.

Baru-baru ini Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Lateefah Koya mempertikaikan penubuhan Pakatan Harapan yang kononnya dibuat secara tergesa-gesa dan mempersoalkan tindakan DAP yang mengumumkan Pakatan Rakyat sudah berkubur.

Tiada ulasan: