Isnin, 18 Julai 2016

Kadar parkir: Sekali lagi, naikkan harga jadi pilihan

 
Sekiranya gagal mengurangkan kesesakan atau menggalakkan perkongisan kereta, apakah DBKL akan menurunkan semula harga parkir?


Parking


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan kenaikan kadar bayaran tempat letak kereta sebanyak 150%.

Menurut DBKL, ia sebagai langkah mengawal kesesakan dalam bandar dan menggalakkan perkongsian kereta,

Persoalannya, sekiranya gagal mengurangkan kesesakan atau menggalakkan perkongisan kereta, apakah harga parkir diturunkan semula?

Di negara ini, perkara membabitkan elemen sosio-ekonomi dikaitkan dengan bayaran dan kenaikan harga.
  • Tol naik: kurangkan kesesakan.
  • Gula naik: kurangkan penyakit diabetes.
  • Elektrik naik: kurangkan penggunaan tenaga.
  • Rokok naik: kurangkan perokok.
  • Cukai lapangan terbang, tiket penerbangan naik: Galak pelancongan tempatan.
Memetik kata-kata Datuk Bandar, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz:

“Langkah berkenaan (naikkan harga parkir) satu-satunya cara untuk mengurangkan kesesakan dalam bandar dan menggalakkan berkongsi kereta, dan bukan menyasarkan kepada mengaut keuntungan.”

Katanya, keputusan itu mengambil kira sekitar 50,000 kereta baharu didaftarkan di Kuala Lumpur setiap bulan dan ia meningkatkan keperluan kadar tempat parkir.

Jadi, langkah ini kononnya dapat memberikan warga kota jalan yang lapang, malah Amin turut membuat perbandingan dengan jalan di musim cuti raya.

Biar betul DBKL?

Mampukah langkah ini kurangkan kenderaan?

Bercakap mengenai keselesaan membawa kenderaan sendiri, mengelak daripada hari yang terlampau panas, hujan lebat atau cuaca tidak menentu, memikirkan kadar keselamatan seperti kena ragut atau bagi yang bawa anak-anak, kes culik, keperluan berjalan dari satu tempat ke satu tempat secepat mungkin kerana tidak percaya dengan pengangkutan awam… Adakah peningkatan harga parkir mampu menemukan Datuk Bandar dengan motif asalnya?

Atau seperti kata seorang rakan, ia hanyalah cara “mengemaskini” dana?

Bagaimana pula dengan kenaikan harga gula, rokok dan tol, sudah menemui motif asal?

Jika tidak kenapa nak guna pendekatan “gagal” yang sama, kononnya bukan untuk mengaut keuntungan?

Tolonglah, saya sudah muak dengan perkataan “pemujukan” itu sedangkan niat sebenar jelas terpampang, iaitu tambah pendapatan!

Apakah kenaikan harga parkir di Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Sr Ismail dan Bangsar yang akan dikuatkuasa secara berperingkat dari sekarang sehingga 1 Ogos akan mengurangkan kenderaan (kesesakan)?

Mungkin pihak berkuasa, tidak kira DBKL atau mana-mana pihak yang menggunakan pendekatan “naik harga” perlu memikirkan cara lebih efektif dan berbeza selain asyik korek poket rakyat.

Seorang rakan penulis mengemukakan beberapa soalan ekoran langkah DBKL, antaranya mengapa tiada keseimbangan dalam menyediakan tempat parkir sedangkan pembangunan semakin hebat?

“Mana kertas kerja yg menunjukkan masalah trafik boleh diatasi dengan kenaikan tarif parkir? Andai kenaikan tarif tak mampu selesai masalah, adakah ianya bakal diturunkan atau kekal tinggi? Adakah inisiatif ini dipilih kerana lebih mudah membebankan rakyat berbanding menugaskan lebih ramai penguatkuasa untuk memastikan tiada masalah sivik jalanan seperti double parking dan sebagainya?” soalnya.

Turut dilaporkan, kadar di tempat letak kereta DBKL di luar pusat perniagaan di ibu kota, termasuk di Brickfields, Taman Maluri, Cheras, Wangsa Maju dan Setapak juga dijangka meningkat.

Bila-bila masa di atas jalan di kota raya, saya bersua dengan penunggang motosikal yang membawa isteri dan dua anak, siap barang-barang digantung di kedua-dua pemegang, saya berdoa supaya mereka segera beli kereta.

“Kancil pun takpe, kereta lama pun tak apa. Macam mana keluarga ini pergi balik hari-hari menaiki motosikal di bandar raya ini? Kalau hujan, apa nasib mereka? Apa mereka buat dengan anak-anak ini?

Mesti berlindung di mana-mana sehingga hujan berhenti. Bagaimana jika ada yang sakit?”

Itu persoalan yang timbul.

Saya yang naik kereta Kelisa sangat kenal situasi ini, saya sendiri pernah laluinya.

Bayangkan kalau mereka ini miliki kereta, apakah kesan kenaikan harga parkir kepada golongan seperti mereka?

Walaupun majoriti warga kota dari kelas sederhana, mereka pasti akan memilih untuk membayar demi keselesaan berbanding niat “murni” DBKL itu.

Lagipun, kalau ke sesuatu tempat atas urusan kerja, lazimnya kakitangan boleh buat tuntutan semula wang.

Kita tunggu dan lihat sama ada kenaikan harga parkir di kawasan penempatan dan perumahan di KL memberi kesan terhadap kesesakan jalan atau kesan kepada kos sara hidup.

Tiada ulasan: