Jumaat, 8 Julai 2016

Henti anggap Sarawak sebagai sebuah negeri, kata ketua SUPP

MALAYSIAKII


Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem digesa untuk menghentikan semua rujukan kepada Sarawak sebagai sebuah daripada 13 negeri di Malaysia.

Presiden Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Han berkata ini perlu, jika Sarawak mahu dianggap sebagai rakan kongsi yang sama dalam persekutuan, dan untuk mendapatkan semula autonomi daripada Putrajaya.

"Jika kita serius tentang usaha kita untuk menuntut semula apa milik kita dari Putrajaya, maka kita perlu berhenti memperkecilkan diri sendiri dengan memanggil Sarawak sebagai sebuah negeri lain di Malaysia.

"Sarawak harus dikenali sebagai Sarawak, bukan salah satu daripada 13 negeri dalam pembentukan Malaysia," kata Sim yang dipetik oleh The Malay Mail Online.

Menteri Tempatan Sarawak itu mendakwa Adenan tidak mempunyai sebarang bantahan apabila beliau membangkitkan perkara tersebut.

"Beliau tidak memarahi saya, tetapi sebaliknya hanya tersenyum. Itu kepada saya bermakna bahawa beliau tidak mempunyai bantahan."

Terdahulu ketika berucap pada majlis pelancaran buku di Kuching, Sim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga bertindak balas secara positif apabila beliau menuntut Putrajaya supaya mengembalikan apa yang dimiliki oleh Sarawak kepada rakyatnya.

"Perdana menteri berkata, ini cadangan yang adil."

ADUN Batu Kawah itu berkata beliau hanya menyatakan fakta apabila mencadangkan Sarawak tidak lagi dianggap sebagai sebuah negeri dan beliau bukannya tidak menghormati kepada persekutuan atau perlembagaan.

Sarawak dan Sabah menyertai Tanah Melayu atau Malaya untuk membentuk Malaysia bersama-sama Singapura pada tahun 1963. Namun republik Singapura meninggalkan Malaysia pada tahun 1965.

Kedua-dua Sarawak dan Sabah mempunyai beberapa bentuk autonomi, terutamanya berkaitan imigresen.
Kuching kini dalam rundingan dengan Putrajaya untuk mendapatkan lebih autonomi.

Tiada ulasan: