Isnin, 18 Julai 2016

FAM mahu empat pemain beri penjelasan

SINAR HARIAN
Datuk Hamidin Mohd Amin
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin ketika menjawab pertanyaan media pada sidang media bulanan skuad kebangsaan hari ini. - Foto Bernama
 

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mahu empat pemain kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan baru-baru ini, mengemukakan surat menjelaskan tindakan mereka.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya ingin mengetahui sebab utama yang mendorong mereka mengambil keputusan itu secara serentak.

"Dalam masa terdekat juga, FAM akan menghantar surat rasmi melalui kelab mereka (JDT) untuk meminta pemain secara peribadi menulis surat persaraan daripada skuad kebangsaaan.

"Pengurusan FAM mahu jawapan yang lebih mendalam melalui surat rasmi yang akan mereka hantar mengenai alasan keengganan bermain untuk skuad kebangsaan," katanya pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di sini hari ini.

Katanya isu persaraan Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Razak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaaan pada 10 Ogos ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pintu skuad negara sentiasa terbuka]

"Pemain memang ada hak untuk bersara, cuma saya terkejut tindakan itu adalah ketika kemuncak prestasi mereka.

"Kita akan ikut prosedur iaitu hantar surat kepada pemain kerana ingin tahu sebab mereka enggan bermain untuk skuad kebangsaan dan selepas itu kita akan buat pengesahan dalam mesyuarat," katanya.

Pada 12 Julai lepas, Safiq yang juga kapten skuad kebangsaan serta Aidil Zafuan mengumumkan persaraan daripada mewakili negara sebelum dua lagi rakan sepasukannya, Kunanlan dan Amirulhadi mengikut jejak mereka dua hari selepas itu.

Hamidin berkata, setakat ini pengumuman berhubung tindakan mereka itu hanya dibuat melalui laman sosial Facebook dan bukannya menerusi surat rasmi.

Pada Sabtu lepas, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, antara faktor persaraan keempat-empat pemain itu adalah kurang latihan berintensiti tinggi sewaktu melaporkan diri untuk pasukan kebangsaan yang boleh menyebabkan berlaku kecederaan apabila mereka pulang ke pasukan masing-masing.

Faktor lain yang membuatkan empat pemain berkenaan bersara juga disebabkan hasrat untuk memberi peluang kepada pemain muda menyarung jersi kebangsaan.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata, calon bagi mengisi kekosongan sebagai pengurus pasukan Harimau Malaysia akan dimuktamadkan dalam mesyuarat pada 15 Ogos ini.

"Saya ingin jelaskan setelah Datuk Sudarsono Osman meletak jawatan, saya hanya memangku jawatan itu atas dasar saya bersama jawatankuasa eksekutif," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: