Zikri Kamarulzaman
AS$731 juta didakwa disalurkan dari 1MDB ke dalam akaun bank milik
'Malaysian Official 1' yang tidak dinamakan, demikan menurut saman yang
difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) semalam.
DOJ tidak menamakan 'Malaysia Official 1' tetapi menggambarkan
individu itu sebagai "pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia
yang juga memegang jawatan yang berkuasa dengan 1MDB."
Anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz,
dinyatakan dalam saman itu sebagai saudara mara 'Malaysian Official 1'.
Semalam DOJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset di Amerika
Syarikat yang didakwanya dibeli menggunakan dana yang dialihkan dari
1MDB. Ia merancang untuk memulangkan hasil daripada penjualan aset-aset
yang disita itu kepada Malaysia.
Menurut saman itu, transaksi terbesar didakwa dibuat kepada
'Malaysian Official 1' adalah AS$681 juta deposit ke sebuah akaun AmBank
pada Mac 2013.
"Plaintif mendakwa atas maklumat dan kepercayaan bahawa 'Malaysian
Official 1' adalah benefisiari utama dari Akaun AMPRIVATE BANKING-MR.
"Akaun AMPRIVATE BANKING-MR adalah akaun yang sama yang kemudiannya
menerima bayaran tertentu berjumlah kira-kira $681 juta pada Mac 2013.
"Peguam Negara Malaysia telah secara terbuka menyatakan bahawa akaun
di mana bayaran AS$681 juta ini dibuat adalah milik Malaysian Official
1."
Menurut saman itu, jumlah itu didakwa datang dari AS$3 bilion bon
1MDB perolehi untuk melabur dalam satu usaha sama dengan Aabar.
Dari bon itu, AS$1.26 bilion didakwa telah dialihkan ke dalam akaun
milik Tanore Finance Corporation, yang kemudiannya menyalurkan AS$681
juta kepada 'Malaysian Official 1',
Pada bulan Ogos 2013, AS$620 juta didakwa telah dikembalikan ke akaun
bank Tanore di Singapura Tanore, yang DOJ dakwa milik sekutu hartawan
kelahiran Pulau Pinang, Jho Low.
Pihak berkuasa AS memetik Peguam Negara Malaysia Tan Sri Mohamed
Apandi Ali sebagai berkata AS$681 juta - yang diterima dalam akaun bank
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - adalah sumbangan peribadi
daripada ahli keluarga diraja Saudi.
Dua deposit lain
Saman itu juga mendakwa bahawa AS$50 juta dalam dana 1MDB telah
disalurkan ke dalam akaun Malaysia Official 1 dalam dua keadaan lain.
Dalam contoh pertama, saman itu mendakwa AS$24.5 juta daripada
AS$1.03 bilion dialihkan dari 1MDB kepada Good Star Limited, dipercayai
dimiliki Jho Low, telah "dipindahkan ke sebuah akaun di Riyad Bank yang
diselanggarakan atas nama seorang putera Saudi."
Putera yang tidak dinamakan dikatakan menjadi pengasas bersama PetroSaudi.
Memetik rekod perbankan JP Morgan Chase, DOJ mendakwa AS$20 juta
daripada AS$24.5 juta kemudiannya disalurkan ke dalam akaun Malaysian
Official 1 pada tahun 2011.
Dalam contoh kedua, saman itu mendakwa, AS$1.67 bilion bon yang
diperolehi 1MDB untuk perjanjian pembelian projek kuasa "telah
disalahgunakan dan dilencongkan ke akaun bank di Switzerland dan
Singapura."
Dana ini kemudian didakwa disalurkan kepada firma Kepulauan Virgin
British Aabar Investment PJS Ltd (Aabar-BVI), yang mendepositkan AS$636
juta ke dalam akaun sebuah bank Singapura yang dipegang oleh Blackstone
Asia Estate Partners Real.
Daripada jumlah ini, AS$30 juta didakwa telah dimasukkan ke dalam
akaun Malaysian Official 1 pada bulan Oktober dan November 2012.
DOJ mendakwa akaun Blackstone itu dimiliki oleh sekutu Jho Low yang sama memiliki akaun Tanore.
Dalam responsnya, setiausaha akhbar kepada perdana menteri, Datuk
Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad berkata, kerajaan akan bekerjasama
sepenuhnya dengan sebarang penyiasatan yang sah terhadap syarikat atau
rakyat Malaysia mengikut protokol antarabangsa.
Katanya, sepertimana perdana menteri sentiasa tegaskan, jika terbukti
ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan