Khamis, 14 Julai 2016

David mungkin berdepan tindakan dibuang parti - Presiden PAP

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Agung Parti Alternatif Rakyat (PAP), David Dass bakal berdepan dengan tindakan dibuang parti selepas mengadakan pertemuan dengan Gabungan Rakyat Saksama (Saksama) baru-baru ini.
 
Presidennya, Zulkifli Mohd Noor tidak menolak tindakan sedemikian kerana mendakwa David bertindak bersendirian dan sehingga kini tidak memberi sebarang penjelasan kepada pimpinan parti.
 
"Kita akan berpandu kepada perlembagaan parti. Jika terpaksa singkir, kita singkir. Jika terpaksa gantung, kita gantung. Atau beri amaran. Terpulang kepada suara majoriti. Tetapi kita akan lihat betapa bahayanya tindakan sebegini kepada parti dan negara," demikian menurut Zulkifli ketika ditemui Antarapos, hari ini.
 
Sehubungan itu PAP akan mengadakan satu mesyuarat di Pulau Pinang pada 17 Julai ini bagi mempertimbangkan tindakan yang akan diambil terhadap David.
 
Selain David, pimpinan PAP lain yang turut hadir dalam pertemuan pembentukan Saksama itu adalah Naib Presiden, Santokh Singh dan Setiausaha Antarabangsa, Balachanthar. 
 
Saksama adalah gabungan parti-parti politik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. 
 
Ia terdiri daripada STAR, Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Rakyat Bersatu Malaysia (MUPP), Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Alternatif Rakyat (PAP) dari Semenanjung.
 
Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR), Lina Soo berkata gabungan parti baru itu ditubuhkan kerana gabungan Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal memberi saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN), selain perpecahan antara pembangkang yang menampakkan ketidaksehaluan sesama mereka.
 
Zulkifli, dalam wawancara bersama Antarapos juga menegaskan PAP selesa bersendiri sekaligus tidak akan sesekali mengadakan gabungan bersama parti-parti politik lain.
 
Beliau turut memaklumkan satu laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) sudah dibuat semalam berhubung penyalahgunaan PAP dalam Saksama, selain menggesa satu siasatan polis terhadap penglibatan pemimpin partinya.
 
"Jika pemimpin dan ahli-ahli PAP berhubung dengan pihak Gabungan Rakyat, ia dilakukan secara peribadi dan tidak mendapat kebenaran pemimpin parti. 
 
"Malah kita mahukan siasatan dari pihak polis mengapa sekiranya pemimpin dan ahli-ahli PAP berinteraksi dengan Gabungan Rakyat, mengapa ia terjadi? 
 
"Adakah mereka dibeli, diberi imbuhan atau ditaja keperluan perjalanan, makan, tempat tinggal atau wang belanja, atau mungkin agenda politik yang besar," ujarnya lagi.
 
Untuk rekod, David pada semalam memberitahu Antarapos bahawa pertemuannya dengan Saksama hanya untuk mendengar taklimat sahaja dan bukan majlis 'memeterai perjanjian'.
 
David juga menafikan kenyataan Lina bahawa parti itu bersama dengan Saksama, sebaliknya PAP masih belum memberi kata putus berhubung penyertaannya.
 
 

Tiada ulasan: