Rabu, 13 Julai 2016

Daun ketum celup tepung pula di pasaran

DETIK DAILY
 



ALOR SETAR: Bagi meraih keuntungan, kini terdapat pula pihak yang dilaporkan menjual snek daun ketum sama seperti kerepek atau rempeyek daun bayam.Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah Mohammed Nazer Mustafa berkata perkara ini dikesan di Pulau Pinang.

“Cara penghasilannya ialah dengan mencelup daun ketum ke dalam tepung dan kemudian digoreng hingga rangup sebelum dimakan seperti snek,” katanya.

Katanya, beliau khuatir kaedah ini akan merebak ke Kedah yang merupakan negeri yang mempunyai kawasan tanaman ketum terbesar di negara ini.

“Kita khuatir produk baharu ini akan menjadi ‘test market’ sebelum diperluaskan ke kawasan lain. Mereka mungkin nak uji kaji terlebih dulu untuk mengetahui sama ada terdapat permintaan tinggi atau tidak,” katanya.

Pada masa sama beliau menyarankan agar kerajaan segera meletakkan bahan ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang menanam pokok ketum.

“Sekarang kita tak boleh ambil tindakan terhadap pengusaha ketum kerana menanam  ketum bukan merupakan satu kesalahan. Jika memetik daun ketum baru merupakan satu kesalahan.

“Jadi antara taktik yang pengusaha ketum gunakan ialah individu yang mahu membeli ketum, mereka perlu memetiknya sendiri. Dengan cara ini pengusaha tidak akan dikenakan tindakan undang-undang jika serbuan pihak penguat kuasa dilakukan,” katanya.

Nazer berkata kini terdapat 81 pengusaha ketum di Kedah, 40 orang a di Padang Terap, Kubang Pasu (17), Kota Setar dan Pokok Sena (13), Baling (10) dan Sik (1).

Malaysia meletakkan kesalahan penyalahgunaan ketum di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000, penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya tetapi bagi kebanyakan kes, pesalah hanya akan didenda.

Tiada ulasan: