MALAYSIAKINI
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menyambut baik tawaran
'gencatan senjata' rakan sejawatnya dalam PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan
Man.
Azmin yang juga menteri besar Selangor memuji Tuan Ibrahim sebagai
seorang pemimpin yang matang serta memiliki visi jauh, apabila
meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepartian.
“Pendirian baru yang dikemukakan oleh PAS memberikan harapan kepada
rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dalam negara yang tidak mungkin
dicapai tanpa perpaduan yang utuh di kalangan semua parti pembangkang,”
katanya.
Tuan Ibrahim membuat seruan itu bagi memberi fokus kepada “musuh sebenar”, iaitu Umno dan BN.
Katanya, PAS dan parti-parti dalam Pakatan Harapan mempunyai banyak persamaan dan hanya beberapa perkara sahaja yang berbeza.
Dalam kenyataannya petang ini, Azmin berkata sejarah membuktikan
perpaduan pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di
parlimen dua kali berturut-turut.
Pembangkang juga, katanya, memperoleh majoriti undi popular dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.
Sebaliknya, perpecahan hanya menguntungkan BN, seperti dalam pilihan
raya Sarawak, Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini, kata Azmin.
PAS Selangor mahu 'formula'
Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad juga senada
dengan Tuan Ibrahim demi menumbangkan BN dan mengelak pertelagahan
sesama sendiri.
Katanya, jika suasana itu berlarutan kemungkinan BN akan terus
memerintah Malaysia dan Selangor akan dapat dirampas semula oleh mereka
pada pilihan raya umum yang akan datang.
“Satu formula yang akan memastikan prinsip-prinsip semua pihak dihormati mesti dicari,” kata pesuruhjaya PAS Selangor itu.
Rafizi harap dihormati ke akar umbi
Sementara itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menganggap cadangan Tuan Ibrahim itu sebagai “hadiah terbaik” untuk rakyat.
Bagaimanapun, kata Rafizi, ia perlu dihormati dan dihayati oleh pendukung pembangkang hingga ke peringkat akar umbi.
“Seterusnya ada baiknya sekiranya satu perjumpaan tidak rasmi boleh
diusahakan untuk membincangkan langkah lanjut untuk mencari titik mula
ini ke arah kebersamaan dalam melawan BN,” katanya.
Rafizi yang juga setiausaha agung PKR berkata sedang menunggu arahan
lanjut Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menzahirkan usaha
mencari titik mula untuk gesaan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan