Jumaat, 22 Julai 2016

CUEPACS minta kerajaan semak gaji 15 tahun tertunggak

 
 


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan segera mengkaji semula skim gaji penjawat awam yang tidak disemak sejak 15 tahun lalu.

Langkah itu perlu dilakukan supaya kerajaan dapat membuat keputusan berhubung cadangan tempoh persaraan kepada 62 tahun bagi penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, semakan gaji itu penting supaya penjawat awam sentiasa bersedia jika kerajaan membuat ketetapan pada usia persaraan.

"Kita tidak mahu selepas enam bulan bersara, penjawat awam tidak boleh hidup," katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya CUEPACS di sini.

Menurut beliau, penjawat awam juga antara kelompok yang tertekan akibat kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.

Oleh sebab itu, katanya, kerajaan perlu mempunyai strategi bagi membantu penjawat awam menangani kenaikan kos hidup dan menghadapi kitaran ekonomi semasa.

"Mampu ke penjawat awam hendak membeli rumah sendiri, menyediakan kos pendidikan kepada anak-anak? Mampukah penjawat awam sekarang ini untuk menampung kos hidup yang 10 langkah ke hadapan berbanding kenaikan gaji.

"Kenaikan gaji kita tidak sampai tiga peratus tetapi kenaikan harga barang dan Indeks Harga Pengguna melebihi 10 peratus setiap tahun.

"Macam isu kenaikan harga ayam, CUEPACS pun pantau juga dan kita mahu kerajaan mengambil tindakan drastik untuk pastikan kenaikan harga ini tidak membebankan pengguna," katanya.

Beliau turut meminta kerajaan tidak menghadkan pengambilan pekerja-pekerja baharu dalam pelbagai peringkat pendidikan menyertai sektor itu bagi mengurangkan kadar pengangguran.

Mengulas mengenai usia persaraan kepada 62 tahun itu, Azih mengakui perkara itu mendapat pelbagai reaksi namun penetapan cadanagan tersebut bukan kepada semua penjawat awam.

Jelasnya, lanjutan perkhidmatan itu tertakluk kepada pengalaman dan melibatkan bidang-bidang pakar seperti pensyarah, doktor, hakim dan peguam profesional supaya negara tidak kehilangan tenaga-tenaga mahir.

Ia hanya melibatkan antara lima hingga lapan peratus sahaja.

"Apabila kami cakap mengenai cadangan persaraan pada usia 62 tahun, kami mahu kerajaan menyediakan pelan yang dibuat selepas lima tahun, 10 tahun selepas bersara. Ini akan kami lontarkan," katanya.

Azih berkata, antara 21,000 hingga 25,000 orang kakitangan awam persara setiap tahun. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: