Ahad, 10 Julai 2016

Bisnes di Plaza Low Yatt semakin suram

MalaysiaGazette
 
 


Peniaga di Plaza Low Yatt mendakwa pusat beli-belah barangan gajet dan elektronik kini mula hilang tarikan apabila jumlah pelanggan semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

Seorang peniaga yang dikenal sebagai Rick berkata, keadaan itu menyebabkan perniagaan para peniaga di situ semakin suram.

Sambil menunding jari ke arah luar kedainya di tingkat tiga, Rick menunjukkan plaza itu agak kurang meriah.

"Sebelum plaza ini diubah suai, tempat ini penuh dengan pelanggan. Pelanggan berhimpit-himpit, laluan sesak, pelanggan penuh di mana-mana.

"Tetapi sekarang keadaan berbeza. Walaupun plaza ini telah diubah suai, keadaannya makin selesa dan luas namun jumlah pelanggan semakin kurang," katanya kepada MalaysiaGazette.

Rick yang membuka kedai membaiki telefon bimbit sejak lebih 10 tahun lalu berkata, kebanyakan peniaga di plaza itu turut merungut dengan keadaan semasa kerana perniagaan agak terjejas.

Bagaimanapun, beliau sendiri tidak pasti punca kekurangan pelanggan ke Plaza Low Yatt.

"Saya tidak pasti punca kenapa orang semakin kurang ke sini," tambahnya.

Melihat situasi semasa, Rick memberitahu, kebanyakan kedai melakukan pelbagai promosi secara agresif untuk pelbagai barangan elektronik dan gajet namun masih gagal menarik jumlah pelanggan seperti dahulu. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: