Ahad, 24 Julai 2016

Beranikah Arul Kanda mengaku 1MDB memang mangsa penipuan

image

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Adakah pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersedia untuk akhirnya mengakui bahawa syarikat milik penuh kerajaan Barisan Nasional itu telah menjadi sebahagian daripada mangsa penipuan berbilion dolar AS di peringkat antarabangsa.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua Kiam Wee hari ini berkata, saman sivil yang dikemukakan Badan Kehakiman Amerika Syarikat Jumaat lalu untuk merampas aset bernilai hampir AS$1 bilion itu turut disertai dengan dokumen yang mendedahkan kesemua transaksi haram yang membabitkan syarikat yang diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2009 itu.

Oleh itu, menurutnya, 1MDB yang diuruskan Arul Kanda tidak harus memberikan alasan bahawa syarikat terbabit “bukanlah pihak yang dinamakan dalam saman sivil terbabit, tidak mempunyai aset di Amerika Syarikat, malah tidak memperoleh faedah daripada pelbagai transaksi seperti yang dinyatakan dalam saman berkenaan”.

“Atau adakah Arul Kanda dan pasukannya masih tidak sedar bahawa berbilion dolar telah hilang (dari kantung 1MDB)? Mengapalah begitu sukar untuk eksekutif yang bijak pandai ini untuk memikirkan jika wang itu telah hilang atau sebaliknya?” Soal Tony Pua mengenai perkara itu dalam satu kenyataan.

“Atau, lebih masuk akal, Arul Kanda dan pasukannya adalah konspirator yang bersubahat di dalam seluruh penipuan. Adakah dia melakukannya untuk menutup penipuan yang melibatkan Perdana Menteri Malaysia sendiri yang didakwa telah menggelapkan lebih daripada AS$700 juta ke dalam akaun peribadinya?” soalnya lagi.

Sebelum ini, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mendakwa bahawa dokumen mahkamah AS itu menunjukkan terdapat tiga transaksi pembayaran telah dibuat ke atas akaun peribadi Najib, dengan jumlah terbanyak iaitu AS$681 juta telah dipindahkan antara 21 hingga 25 Mac 2013, sejurus sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

Malah, beliau turut menjelaskan terdapat dua bayaran lain berjumlah AS$50 juta ke dalam akaun Najib sebelum ini, iaitu pemindahan sebanyak AS$20 juta antara 23 Feb hingga 13 Jun 2011, dan AS$30 juta antara bulan Mei hingga Disember 2012.

Sehubungan itu, Tony menggesa supaya Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Irwan Serigar menjaga kepentingan pembayar cukai di negara ini dengan mengambil tindakan segera memecat kesemua pegawai tinggi 1MDB bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.

“Irwan juga harus menyatakan secara terbuka, jika 1MDB sebenarnya telah menjadi mangsa penipuan dan mencari jalan supaya hasil yang dicuri disalurkan semula kepada negara,” katanya.

Jika itu juga gagal dilaksanakan Pengerusi syarikat terbabit, menurut Tony Pua, Irwan sendiri harus meletakkan jawatannya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: