Rabu, 13 Julai 2016

Bagaimana rupa bentuk parti baru Mahathir?

Zikri Kamarulzaman


Spekulasi bertiup kencang bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali aktif dalam dunia politik dan berkemungkinan besar akan menerajui sebuah parti baru.

Bagaimanapun, butir-butir mengenai parti baru itu, buat masa ini adalah samar-samar kerana maklumat terperinci akan hanya dijadualkan untuk perbincangan esok.

Malaysiakini bagaimanapun menemui beberapa penyokong setia Mahathir untuk mengetahui apa yang mereka fikir parti baru itu akan menyerupai.

Adakah ia akan menjadi parti Melayu atau pelbagai kaum?

Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, semalam berkata, parti itu akan dianggotai oleh bekas ahli Umno.

Mengulas lanjut hari ini, Khairuddin berkata pada pendapat peribadinya, parti itu perlu menjadi sebuah parti Melayu seperti Umno.

"Ini penting kerana jika kita berjaya menghapuskan semua pemimpin rasuah dalam Umno, kita semua boleh kembali dan merombaknya.

"Hakikatnya, Umno masih boleh diselamatkan," kata Khairuddin kepada Malaysiakini.

Beliau juga berkata dengan menjadi sebuah parti Melayu, mereka tidak akan bersaing dengan sama ada AMANAH, PKR atau DAP untuk mendapatkan sokongan.

Bekas ahli Umno Langkawi Anina Saadudin juga bersependapat. Katanya, sebuah parti Melayu baru diperlukan untuk menggantikan Umno yang kini rosak.

"Kita mempunyai sebuah parti pelbagai kaum, parti agama, parti untuk kaum Cina dan India, tetapi kita tidak mempunyai parti untuk Bumiputera selepas Umno telah rosak," kata Anina.

Naib Presiden kumpulan pemberontak Umno, Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Rushdan Mohamed juga bersependapat bahawa masyarakat bukan Melayu sudah mempunyai pilihan politik untuk mereka.

Siapa bakal menyertainya?

Selain daripada Mahathir dan kumpulan pemberontak yang dinyatakan, Khairuddin yakin bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz adalah antara mereka yang bakal menyertai parti baru itu.

Bagi bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri , Khairuddin berkata, beliau juga telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat esok.

Bagaimanapun, katanya, adalah lebih baik bagi pemimpin Sabah itu mengikuti jalan yang berbeza.

"Pendapat peribadi saya adalah bahawa Shafie juga perlu menubuhkan parti baru yang akan bekerjasama dengan semua parti tempatan Sabah termasuk PKR dan DAP di sana.

"Ini akan memberi mereka peluang yang lebih baik untuk merampas Sabah."

Apa matlamat perjuangan mereka?

Buat masa ini, perjuangan parti baru itu mirip perjuangan gerakan Selamatkan Malaysia, iaitu untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menangani rasuah, dan melaksanakan pembaharuan institusi.

Anina berkata entiti yang baru perlu menjadi parti yang berjuang untuk rakyat.

Ia juga tidak seharusnya mengulangi kesilapan Umno, terutama dalam hal nepotisme.

"Tidak ada kedudukan yang seharusnya diwarisi, sama ada anak-anak presiden, sepupu, adik-beradik atau kawan-kawan melainkan jika mereka benar-benar layak dan cukup berwibawa untuk membawa perubahan politik.

"Parti perlu melangkah keluar dari falsafah feudal."

Mesyuarat untuk membincangkan pembentukan parti itu dijadual diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya pada jam 3 petang esok.

Tiada ulasan: