Rabu, 13 Julai 2016

Anak syarikat TH dituntut di mahkamah RM35.5 juta, saham merudum kepada 6.5 sen

MALAYSIA DATELINE
 
 
Rafizi mahu Tabung Haji menarik balik laporan polis terhadapnya kerana kini semua dakwaan beliau ternyata benarRafizi mahu Tabung Haji menarik balik laporan polis terhadapnya kerana kini semua dakwaan beliau ternyata benar


Tindakan dua syarikat antarabangsa minggu lalu memfailkan dua petisyen berasingan untuk menuntut hutang mereka dari TH Heavy Engineering Berhad (THHE) berjumlah RM35.5 juta menyebabkan saham THHE telah menjunam ke paras terburuk dalam sejarahnya, semasa berita ini ditulis, saham THHE diniagakan pada 6.5 sen sesaham.

Menurut Naib Presiden yang juga Setiausaha Agung PKR, sepanjang bulan Februari 2016, beliau telah memberi tumpuan kepada kedudukan kewangan Tabung Haji dan risiko-risiko kewangan/pelaburan yang perlu ditangani dengan segera demi kepentingan pendeposit dan jemaah haji.

Antara lain beliau mempersoalkan pelaburan-pelaburan yang merugikan pendeposit seperti Silverbird Berhad (pembuat roti High 5 yang kini terbukti gagal buat kali kedua), Felda Global Ventures dan penglibatan Tabung Haji membeli Ramunia Holdings Berhad (kini dikenali sebagai TH Heavy Engineering Berhad atau THHE).

"Minggu lalu, dua syarikat antarabangsa telah memfailkan dua petisyen berasingan untuk menuntut hutang mereka dari THHE.

" MIB ITALIANA S.P.A sebanyak USD 1,266,496.80 atau RM5.1 juta, manakala Orwell Offshore Ltd sebanyak USD 7, 607,440.74 atau RM30.4 juta," katanya dalam satu siaran media hari ini.

Ekoran dari dua petisyen menuntut hutang yang berjumlah RM35.5 juta ini katanya, saham THHE telah menjunam ke paras terburuk dalam sejarahnya yang diniagakan pada 6.5 sen sesaham.

Rafizi sebelum ini telah memberi amaran bahawa prospek jangka panjang pelaburan Tabung Haji di dalam THHE adalah buruk memandangkan prestasi kewangan THHE yang lemah selama ini akan diburukkan lagi akibat pasaran minyak mentah dunia yang terus kekal rendah.

"Perkara ini kini disahkan apabila bukan sahaja saham THHE diniagakan pada harga terendah, penganalisa pasaran juga telah memotong unjuran prestasi kewangannya dan menasihatkan pelabur menjual saham-saham THHE. Firma saham Maybank Kim Eng dalam nota pelaburan bertarikh 8 Julai 2016 memotong unjuran perolehan THHE bagi tempoh 2016 hingga 2018 sebanyak 16% - 32%," katanya.

Beliau juga telah memberi amaran sebelum ini bahawa pergantungan THHE kepada satu-satunya projek besar iaitu menyediakan kemudahan FPSO (floating production, storage and offloading) untuk disewakan kepada konsortium JX Nippon dan Petronas Carigali (75%:25% pegangan) yang mengendalikan lapangan gas Layang adalah sangat berisiko tinggi kerana kelewatan-kelewatan yang telah berlaku.

"THHE sepatutnya menyiapkan FPSO itu pada awal 2016 tetapi telah dilanjutkan tempohnya hingga ke pertengahan 2016 (iaitu sekarang).

"Sehingga kini tidak ada tanda-tanda bahawa FPSO itu akan siap, malah ada dakwaan bahawa ada masalah teknikal yang menyukarkan kerja-kerja menukar FPSO milik THHE untuk menepati spesifikasi teknikal seperti di dalam kontrak dengan consortium JX Nippon-Carigali," katanya.

Lebih buruk lagi menurutnya, masalah kewangan dan aliran tunai terhad yang dihadapi oleh THHE kini bermakna ia berhadapan risiko melanggar kontrak dan tidak dibayar jika ia gagal memenuhi syarat-syarat kontrak yang ditandatangani.

Berhadapan keadaan ini beliau menyeru supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri memberi jawapan kepada rakyat terutamanya pendeposit Tabung Haji mengenai langkah-langkah beliau untuk menyelamatkan Tabung Haji dari kerugian berganda ini.

"Kerugian sebanyak RM554 juta pendeposit Tabung Haji yang kebanyakannya dari kalangan orang miskin dan warga emas bukanlah sesuatu yang boleh didiamkan sahaja," katanya.

Beliau juga menyeru supaya kepimpinan baru Tabung Haji di bawah Dato’ Johan Abdullah mengambil pendekatan yang berbeza dalam menangani pandangan timbang tara dari Ahli Parlimen sepertinya.

"Oleh kerana analisa dan amaran-amaran saya telah terbukti benar, saya menyeru supaya Tabung Haji menarik balik laporan polis mengenai perkara ini yang telah dibuat terhadap saya sehingga menyebabkan saya didakwa di mahkamah kononnya memfitnah Tabung Haji sedangkan apa yang saya ulas itu kini telah berlaku," katanya yang juga Ahli Parilimen Pandan.

Tiada ulasan: