Khamis, 14 Julai 2016

Amanah mahu pengesahan sebelum ulas "gencatan senjata"

 HAZRI NAWAR
 
 
Terlalu awal berhubung seruan "gencatan senjata" yang dilontarkan Datuk Tuan IbrahimTerlalu awal berhubung seruan "gencatan senjata" yang dilontarkan Datuk Tuan Ibrahim


Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub tidak mahu mengulas terlalu awal berhubung seruan "gencatan senjata" yang dilontarkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.

Sebaliknya, Salahuddin berkata beliau mahu satu pengesahan sebelum membuat komen sama ada kenyataan Timbalan Presiden Pas itu pendirian rasmi parti Islam itu atau hanya pandangan peribadinya sendiri.
"Saya minta satu pengesahan adakah kenyataan itu peribadi dia atau rasmi daripada Pas.

"Kalau itu pandangan Tuan Ibrahim secara peribadi, saya tak mahu ulas," katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas seruan Tuan Ibrahim hari ini agar gencatan senjata sesama pembangkang bagi membina kesepaduan menumbangkan BN.

Tuan Ibrahim berkata, Pas dan parti-parti dalam Pakatan Harapan perlu bertolak ansur dan mencari titik persamaan tanpa membelakangkan dasar masing-masing.

Salahuddin sebelum ini antara pemimpin awal menyatakan cadangan agar Pas kembali ke meja rundingan untuk bersama Pakatan Harapan yang disertai PKR, Amanah dan DAP bagi berhadapan dengan Umno BN.

Bagaimanapun Pas dalam reaksi oleh beberapa pemimpinnya menolak mentah-mentah cadangan itu dengan mendakwa tidak akan berkerjasama dengan DAP dan Amanah yang didakwa mereka sebagai pengkhianat.

Tiada ulasan: