Selasa, 19 Julai 2016

500 pemandu pelancong fasih bahasa Mandarin diperlukan

 
 
Uzaidi Udanis
Uzaidi Udanis
 
 
Sektor pelancongan di negara ini memerlukan kira-kira 500 pemandu pelancong yang fasih berbahasa Mandarin dengan segera bagi menampung kekurangan bakat tersebut.

Kekurangan itu perlu diisi bagi menampung keperluan kehadiran para pelancong China ke Malaysia.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, mengikut data Persatuan Pemandu Pelancong di Malaysia, setakat ini hanya 993 pemandu pelancong fasih berbahasa Mandarin telah berdaftar.

"Bagi kami angka itu tidak cukup untuk kita menyediakan kemudahan dan maklumat komprehensif mengenai pakej dan lokasi percutian menarik di Malaysia.

"Kita memerlukan lebih 500 lagi pemandu pelancong yang fasih berbahasa Mandarin untuk kemudahan pengunjung dari China.

"Lagipun sebahagian daripada jumlah sedia ada itu, sebilangan besar yang kerja separuh masa sebagai pemandu pelancong," katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Jalan Ampang di sini.

Katanya, masalah kekurangan pemandu pelancong yang fasih berbahasa Mandarin dikesan sejak awal tahun ini.

Tambah beliau, pihaknya sudah merujuk masalah berkenaan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mencari jalan penyelesaian.

Beliau memberitahu, sejak bulan Jun dan Julai ini kehadiran pelancong dari China sangat luar biasa dan menakjubkan walaupun berlaku pelbagai insiden dan ancaman di negara ini.

"Peningkatan ini menyebabkan kami berhadapan dengan masalah pemandu pelancong, selain jumlah bas pelancong juga tidak mencukupi," katanya.

Uzaidi berkata, setiap tahun seramai dua juta pelancong China bercuti di negara ini dan dengan kelonggaran pemberian viza untuk pelancong China, diunjur akan meningkatkan kehadiran mereka kepada lapan juta.

"Sejak beberapa bulan lepas terdapat 4,800 kumpulan pelancong China dengan 10,000 orang sekali masuk dalam satu-satu kumpulan dan ini satu angka yang besar.

"Bermula Julai hingga September merupakan musim percutian untuk pelancong China dan mereka akan membanjiri Malaysia. Jadi kami perlu fokus dalam kualiti kemudahan terbaik untuk mereka," tambahnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyangkal penyebaran khabar angin bahawa para pelancong membatalkan pakej percutian mereka ke Malaysia dengan bimbang tentang ancaman Kumpulan IS di Malaysia.

"Kami boleh disahkan tidak ada mana-mana pelancong dari pelosok dunia termasuk China yang membatalkan percutian mereka ke sini atas alasan ancaman Kumpulan IS.

"Ini kerana ketika ini, mereka sudah mula membanjiri Malaysia dan banyak penerbangan sewa sudah mula memasuki negara dengan pelancong China," tambahnya. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: