Khamis, 23 Jun 2016

Yayasan Kepimpinan Perdana tak layak terima bantuan

 Yayasan Kepimpinan Perdana
Khairul Azwan(dua,kanan) ketika sidang media yang berlangsung hari ini.


KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pemuda Umno mendesak agar kerajaan menghentikan segala bantuan termasuk kewangan dan harta tetap yang diberikan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya memandang serius tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang didakwa memperalatkan yayasan berkenaan sebagai platfom menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pemuda Umno mengecam tindakan Tun Mahathir yang memburukkan kerajaan dan Perdana Menteri kerana ia amat bertentangan dengan perlembagaan dan sistem demokrasi yang diamalkan," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Azwan turut memaklumkan bahawa pihaknya juga akan menghantar surat kepada Perdana Menteri pada petang ini bagi menggesa penarikan bantuan terhadap yayasan berkenaan.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 22 orang kakitangan yang bertugas di yayasan terbabit dan gaji mereka serta kos perbelanjaan-perbelanjaan lain ditanggung oleh kerajaan.

"Perkara ini juga saya akan bangkitkan kepada Majlis Tertinggi Umno bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil," katanya lagi.

Selain daripada itu, Khairul Azwan mendakwa, Mahathir turut menjadikan yayasan tersebut sebagai platform dan sumber bagi membuat gerakan serta program untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Tambahnya, desakan berkenaan dibuat memandangkan Pemuda Umno mendapati banyak tindakan Tun Mahathir yang menggunakan sumber yayasan terbabit sebelum ini.


Tiada ulasan: