Rabu, 29 Jun 2016

Tuduhan bunuh tahanan, mahkamah bebaskan empat polis

Alyaa Alhadjri 


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan empat anggota polis yang dituduh membunuh N Dharmendran semasa dalam tahanan pada tahun 2013.

Hakim Datuk Kamardin Hashim menyampaikan keputusannya di bilik mahkamah yang penuh sesak.
Dalam penghakimannya, Kamardin berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah terhadap semua tertuduh.

"Semua tertuduh memilih untuk membela diri dan memberi sumpah kenyataan dari kandang tertuduh.
"Mereka juga mengemukakan saksi untuk memberi keterangan," kata Kamardin yang berkata tidak ada hubungan antara Dharmendran dan dua tertuduh sebagai alasan untuk pembelaan.

Inspektor Hare Krishnan, Sarjan Jaffri Jaafar, 46, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34, didakwa membunuh Dharmendran, 32, di bilik soal siasat Bahagian Jenayah Berat (D9), Tingkat 7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah antara 18 dan 21 Mei 2013.

Mereka berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 12 Dis 2014, Hakim Kamardin membebaskan keempat-empat pegawai dan anggota polis itu daripada pertuduhan membunuh, di akhir kes pendakwaan tanpa memanggil mereka membela diri.

Bagaimanapun pada 26 Feb 2016, Mahkamah Rayuan memerintahkan kesemua lelaki itu membela diri atas pertuduhan membunuh Dharmendran selepas mengetepikan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 28 April 2016, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian Dharmendran, mendapati kematiannya pada 21 Mei 2013 adalah akibat daripada penggunaan kekerasan fizikal oleh pihak polis.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, manakala peguam M Athimulan dan Gobind Singh Deo mewakili Hare Krishnan, manakala Datuk Baljit Singh Sidhu bertindak bagi pihak tiga lagi tertuduh.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: