Jumaat, 24 Jun 2016

Tidak halal darah rakyat bukan Islam – Asri

 
Perlis mengambil pendirian yang berbeza daripada Pahang berhubung status perangi orang bukan Islam


Mohd-Asri_islam_600


PETALING JAYA: Mufti Perlis berpendirian rakyat yang bukan Islam tidak boleh dikategorikan sebagai kafir harbi, istilah yang ditafsirkan sebagai golongan bukan Islam yang diperangi.

Ini kerana, perjanjian kewarganegaraan memberikan perlindungan kepada semua rakyat bukan Islam dan hak mereka dipelihara.

“Dalam konteks moden setiap yang mendapat kerakyatan dalam Dar al-Islam (negara Islam) itu seorang zimmi, bererti yang dipelihara atau dilindungi haknya,” jelas Mohd Asri Zainul Abidin, dan menambah istilah zimmi telah digantikan dengan istilah rakyat yang bukan beragama Islam.

Pendirian ini menyusuli kenyataan Mufti Pahang di akhbar Utusan Malaysia hari ini, yang mengulas penentangan DAP kepada perlaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

“Prinsip mereka jelas membenci Islam dan berdosa besar bagi umat Islam bekerjasama dengan mereka,” kata Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

“Namun jika mereka yang mahu menentang Islam, kita wajib memeranginya,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Malaysiakini melaporkan Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata istilah kafir harbi ditujukan kepada semua pihak yang menentang Islam.

Memetik Pengerusi Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Yusuf al Qaradawi, Asri menjelaskan ciri-ciri negara Islam ialah kekuasaan politik dalam tangan orang Islam, perlaksanaan hukum Islam walaupun tidak menyeluruh dan penganut mengamalkan agama Islam secara aman.

Asri berkata Malaysia menepati ciri Dar al-Islam, maka orang bukan Islam yang mendapat kerakyatan dan dipelihara oleh undang-undang Malaysia tidak boleh digelar kafir harbi.

“Sehinggalah dia tiada lagi sebarang ikatan perjanjian dengan negara Islam dan tidak dilindungi lagi oleh undang-undang negara Islam,” katanya melalui catatan Facebook.

Menurut Asri, istilah kafir harbi juga tidak boleh dikenakan keatas orang bukan Islam daripada negara-negara bukan Islam yang mempunyai perjanjian dengan negara Islam, antaranya Amerika Syarikat.

“Kafir harbi, berdasar yang dibincang di atas ialah bukan muslim yang menolak dan menentang seruan Islam, bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, tiada sebarang perjanjian aman dengan Dar al-Islam dan tinggal di negara mereka Dar al-Harb,”

Menurut Asri, hanya Israel yang dikategori sebagai Dar al-Harb kerana permusuhan yang zahir dan berterusan dengan umat Islam.

“Dengan itu rakyat Malaysia yang bukan muslim tidak boleh dikategorikan kafir harbi yang boleh diperangi dan halal darahnya ditumpahkan selagi mereka mempunyai ikatan hubungan dengan negara!” tegasnya.

Tiada ulasan: